Satu gempa bumi yang kuat telah menggegarkan persisiran pantai Costa Rica pada Selasa, menyebabkan beberapa bangunan bergoyang serta orang ramai berlari menuju jalan-jalan di ibu negara San Jose.

Menurut Pusat Siasatan Kajibumi AS, Gempa bumi berukuran 6.5 magnitud itu berpusat di rantau Guanacaste, Amerika Tengah, hanya 8 kilometer dari bandar pelancongan popular, Nicoya.

Mengikut laporan awal, gempa bumi tersebut mempunyai kedalaman 39.5 kilometer.

Di pantai Matapalo, penduduk berkata mereka terdengar bunyi dentuman semasa gempa melanda.

“Saya terkejut. Walaupun jauh tetapi ia kedengaran seperti dekat dan memekakkan,” kata Alberto Canales, seorang penyambut tetamu di Hotel Riu Guanacaste.

Tiada kerosakan atau kecederaan serius dilaporkan selepas gempa bumi berukuran 6.5 magnitud melanda dan diikiti dengan gempa bumi susulan bermagnitud 4.5.

Gempa asal telah dirasai di San Jose dimana orang ramai berlari keluar dari bangunan yang dikhuatiri akan runtuh.

Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Costa Rica untuk Kecemasan, Vanessa Rosales berkata, tiada kerosakan serius dilaporkan daripada gempa bumi yang melanda semalam. Pegawai Persatuan Palang Merah juga berkata tiada sebarang kerosakan dilaporkan.

Tambah Rosales, pihak mereka akan mendapatkan gambaran penuh tentang gempa bumi yang berlaku semalam, hari ni.

Rantau ini mengalami gempa bumi yang lebih kuat bulan lepas, apabila gempa bumi berukuran 7.6 magnitud menggegarkan pantai yang sama, menyebabkan panik, pemindahan serta kerosakan kecil.

Ahli seismologi dari AS dan Costa Rica berkata, gempa bumi ini kemungkinan adalah susulan daripada gempa bumi utama yang melanda pada 5 September lalu.

"Ia adalah kemungkinan yang sangat baik bahawa kita sedang melihat satu gempa susulan," kata ahli geofizik USGS, Rafael Abreu.