Dua lelaki yang bertutur sesama sendiri dengan menggunakan bahasa Arab, telah dilarang menaiki sebuah pesawat dari Chicago ke Philadelphia, mencerminkan sifat paranoid yang dicetuskan oleh serangan pengganas di Paris.

Maher Khalil dan Anas Ayyad dimaklumkan oleh pegawai di pintu masuk Lapangan Terbang Midway bahawa kedua-dua mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat itu kerana salah seorang penumpang pesawat itu telah mendengar mereka berbual dalam bahasa Arab dan berasa takut untuk terbang dengan mereka.

Dua sahabat terbabit dilaporkan berasal dari Palestin dan berusia dalam lingkungan 20-an.

Maher memberitahu televisyen NBC bahawa beberapa penumpang dalam pesawat itu memaksanya membuka sebuah kotak putih yang dibawa olehnya yang diisi dengan manisan pencuci mulut, Baklava.

“Jadi, saya berkongsi baklava saya dengan mereka,” katanya.

Southwest Airlines, yang mengendalikan pesawat itu, tidak memberikan apa-apa komen apabila dihubungi oleh AFP.

Kejadian yang sama dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat dalam penerbangan domestik yang lain ekoran serangan minggu lepas di ibu negara Perancis yang meragut 130 nyawa.