KUALA LUMPUR: Perisian yang dibangunkan syarikat peneraju keselamatan siber global, CrowdStrike mengalami gangguan siber terbesar sehingga menjejaskan perjalanan operasi di beberapa negara termasuk Singapura, Australia dan Amerika Syarikat.

Gangguan itu menyaksikan mesin pelayan dan juga komputer berdepan isu BSOD ataupun Blue Screen of Death yang memaksa penutupan sesebuah komputer.

Gangguan yang dikaitkan dengan Windows Microsoft itu turut menjejaskan operasi pendaftaran masuk di lapangan terbang.

Di Amerika Syarikat, syarikat penerbangan utama American Airlines, Delta Airlines, United Airlines dan Allegiant Air turut mengumumkan penangguhan operasi susulan gangguan itu.

Reuters melaporkan, berdasarkan maklumat awal, Crowdstrike mengakui berlaku gangguan pada sistem operasi Windows Microsoft yang melibatkan sistem sensor Falcon.

Pejabat Penyelarasan Keselamatan Siber Nasional Australia, Michelle McGuinness dalam catatan di platform X memaklumkan tiada sebarang bukti yang menunjukkan gangguan itu ekoran serangan pada keselamatan siber.

CrowdStrike pernah meraih anugerah Syarikat Terbaik 2022 dalam Industri Pengesanan dan Respons Terurus Asia Pasifik Frost and Sullivan. - Agensi