SEKEPING foto memaparkan seekor beruang koala yang ditemukan dengan kesan terbakar bersama anaknya menyentuh hati pengguna media sosial.

Polis menjumpai si ibu dengan kesan lecur di bahagian belakang badan dan telinga ketika melakukan kerja-kerja menyelamat di Canungra, pedalaman Gold Coast, pada petang Jumaat.

Ketika ditemui, koala itu berada di atas sebatang pokok yang tumbang bersama anaknya yang tidak mengalami kecederaan.

"Segala-galanya musnah di sekeliling mereka. Si ibu memeluk anaknya, seolah-olah sedang melindunginya," kata Sarjana Kanan, Peter Waugh kepada The Beaudesert Times.



Kedua-dua haiwan itu dibawa ke pusat hidupan liar Queensland dan telah menerima rawatan.

Sejak beberapa hari lalu, kebakaran belukar besar-besaran berlaku di Canugra dan beberapa kawasan lain di pedalaman Queensland, Australia, menyebabkan sekurang-kurangnya 17 keluarga hilang tempat tinggal.

Biarpun sudah berjaya dikawal, pihak berkuasa belum memberi kebenaran kepada orang ramai untuk kembali ke kawasan itu dan masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.