KANSAS: Malam Selasa lalu, sebuah video kilat 'bercabang dari tanah ke awan' yang dirakam di bandar Wichita, Amerika Syarikat, menjadi tular di media sosial.

Ia dirakam seorang penduduk, Taylor Vonfeldt yang memuat naik video itu ke Twitter dan menyifatkannya sebagai "sambaran kilat paling dasyat yang pernah saya rakam."

Kilat sememangnya fenomena biasa namun ia boleh menjadi sesuatu yang menakutkan, apatah lagi dalam situasi yang unik ini.


Pakar kilat, Chris Vagasky memberitahu portal AccuWeather ia merupakan fenomena menakjubkan.

"Ia adalah paparan yang sangat mengagumkan, dipanggil lightning-triggered upward lightning," kata Vagasky.

Editor Kanan Cuaca AccuWeather, Jesse Ferrell menjelaskan, kilat itu juga dipanggil sambaran kilat "tanah ke awan".

"Ia bermula di bahagian atas objek, selalunya material buatan manusia seperti bangunan atau menara komunikasi.

"Walaupun jarang, ia boleh berlaku selepas ribut dan hujan lebat, membolehkan kita melihatnya dengan jelas," jelas Ferrell.

Wichita dilanda ribut petir berulang kali pada petang Selasa dari jam 5 petang hingga 11 malam, manakala sambaran kilat tersebut berkemungkinan berlaku selepas ribut terbesar berakhir sekitar jam 10 malam.

Vagasky berkata pemahaman medan meteorologi tentang kilat seumpama ini sedang berkembang terutama dengan lebih banyak penambahbaikan dibuat pada rangkaian pengesanan kilat.

Biarpun kelihatan mempesonakan, Vagasky memberi amaran ia masih berbahaya dan orang ramai perlu berada di kawasan yang selamat semasa kilat berlaku.


* Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!