MOSCOW: Usahawan Amerika Syarikat (AS) Elon Musk pada Selasa menyatakan kesediaannya untuk berkhidmat dalam Kerajaan AS jika ditawarkan peranan sedemikian, lapor Sputnik.

Pada Isnin, calon presiden Republikan Donald Trump berkata beliau bersedia mempertimbangkan Musk untuk jawatan Kabinet atau sebagai penasihat sekiranya dipilih sebagai Presiden AS dalam pilihan raya November ini.

"Saya sedia berkhidmat," kata Musk di X.

Minggu lepas, Musk menemu bual Trump di platform Spaces di X. Pada bulan Julai, beliau memuat naik kenyataan di X yang menyokong Trump dalam pemilihan presiden.

Pilihan Raya Presiden AS dijadualkan berlangsung pada 5 November. Pada bulan Julai, Presiden AS Joe Biden yang kini memegang jawatan itu mengumumkan penarikan diri daripada menjadi calon pilihan raya 2024 demi kepentingan Parti Demokrat dan negara.

Biden menyokong Harris sebagai calon Demokrat, yang telah diterima oleh Naib Presiden AS itu.

-- BERNAMA