GAZA: Serangan terbaharu Israel yang menyasarkan orang awam Palestin semalam sekali lagi mencetuskan kemarahan dan kecaman hebat dunia.

Tembakan langsung oleh tentera Israel ke arah himpunan orang awam yang terdesak untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan telah mengakibatkan lebih 100 orang terkorban dan ratusan lagi cedera, menurut WAFA.


Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengecam tindakan yang menyasarkan rakyat Palestin semasa penghantaran bantuan di utara Gaza.


Jurucakapnya Stephane Dujarric yang menyifatkan insiden itu sebagai "mengerikan" menyatakan bahawa orang awam yang terdesak di Gaza memerlukan bantuan segera, termasuk mereka yang dikepung di utara yang sudah lebih seminggu tidak dapat diakses oleh PBB.

Menurutnya, Guterres turut melahirkan kebimbangannya terhadap kehilangan tragis nyawa manusia akibat pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza, sambil mengulangi gesaan gencatan senjata segera.

Parlimen Arab turut mengecam pembunuhan beramai-ramai itu, dengan menyatakan ia adalah "penyasaran kejam dan mengerikan" yang dilakukan oleh Israel terhadap orang awam Palestin.

Dalam kenyataannya yang dipetik WAFA, Parlimen Arab mengutuk sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa atas jenayah kejam Israel dan kegagalan untuk mempertanggungjawabkan rejim itu atas jenayahnya terhadap orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

"Ia jelas jenayah memalukan dan tidak bermoral", menurut kenyataan itu sambil menegaskan bahawa ia adalah pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia juga menyeru parlimen antarabangsa, serantau dan Eropah untuk memberi tekanan kepada kerajaan mereka agar segera membela rakyat Palestin yang sedang mengalami jenayah paling kejam selain membawa Israel untuk diadili di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin, mengutuk sikap Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben Gvir yang memuji tindakan tenteranya melakukan pembunuhan beramai-ramai di Jalan Al-Rashid di Gaza.

"Ia isyarat jelas kepada niat dan dasar rasmi Israel untuk menghapuskan rakyat Palestin dan secara terang-terangan menentang Mahkamah Keadilan Antarabangsa selain menghina pendirian dan tuntutan antarabangsa untuk melindungi orang awam," menurutnya seperti dipetik WAFA.

Mesir pula menganggap tindakan Israel itu sebagai memalukan dan pengabaian terhadap nilai kemanusiaan dan kesucian nyawa.

Ia menegaskan pendirian tegasnya menuntut gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza dan keperluan untuk menghapuskan semua halangan kepada aliran bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

Mesir turut menolak sebarang percubaan yang bertujuan untuk memindahkan penduduk Palestin keluar dari wilayah asal mereka.

Di Jordan, jurucakap rasmi Kementerian Luar Negeri dan Hal Ehwal Ekspatriatnya Duta Sufyan Al-Qudah, menegaskan penolakan mutlak kerajaan negaranya terhadap pendudukan berterusan Israel yang menyasarkan orang awam di Semenanjung Gaza.

Menurutnya, Jordan memperbaharu seruannya kepada masyarakat antarabangsa "agar menyediakan perlindungan untuk rakyat Palestin dan mempergiat usaha untuk merealisasi gencatan senjata serta-merta dan kekal di Gaza selain memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan yang mampan ke semua bahagian di Semenanjung Gaza."

Pendirian sama dikongsi kerajaan Arab Saudi yang mengesahkan penolakannya terhadap tindakan Israel yang menurutnya jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia turut memperbaharu seruannya kepada masyarakat antarabangsa untuk mengambil pendirian tegas, mewajibkan Israel menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa, segera membuka koridor kemanusiaan yang selamat, membenarkan pemindahan rakyat yang cedera dan membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sekatan.

Menurut wartawan WAFA, anggota tentera Israel dan kereta kebal yang ditempatkan di Jalan Haroun Al-Rashid di barat Kota Gaza semalam melepaskan tembakan ke arah ribuan rakyat Palestin yang sedang menunggu trak bantuan, mengakibatkan kematian lebih 100 orang dan ratusan lagi cedera.

Menurut sumber perubatan Palestin, setakat tengah hari semalam puluhan jasad yang syahid dan cedera masih berada di lokasi dan tiada akses ambulans dibenarkan.

Sejak pencerobohan Israel pada 7 Okt, 2023, 31 daripada 36 hospital dan 152 institusi kesihatan yang disasarkan tidak dapat beroperasi akibat pengeboman, pemusnahan dan kekurangan bekalan perubatan, bahan api dan elektrik.

Israel juga masih terus menghalang akses bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, khususnya ke wilayah utara manakala bantuan yang sampai ke selatan Semenanjung itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan mendesak rakyat terutama di Rafah yang dianggap tempat perlindungan terakhir.

Rafah yang hanya berkeluasan kira-kira 65 kilometer persegi, kini dihuni lebih 1.3 juta rakyat Palestin, majoritinya tinggal di khemah diperbuat daripada plastik dan kain selain tidak mempunyai kemudahan asas dan keperluan minimum untuk kelangsungan hidup.

-- BERNAMA