DALLAS: Dua pesawat era Perang Dunia Kedua bertembung sebelum terhempas ketika pertunjukan udara di Texas, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu.

Rakaman video menunjukkan kedua-dua pesawat berkenaan bertembung ketika terbang rendah menyebabkan salah satu daripadanya terputus dua sebelum terhempas.

Kedua-dua pesawat berkenaan, satu daripadanya pesawat Boeing B-17 Flying Fortress, mengambil bahagian dalam pertunjukan udara di Dallas.

Ketika ini tiada maklumat tentang jumlah penumpang dalam pesawat berkenaan dan jika mereka berjaya menyelamatkan diri.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dalam satu kenyataan berkata siasatan terperinci akan dijalankan di Pertunjukan Udara Wings Over Dallas bagi mengenal pasti punca kejadian.

Datuk Bandar Dallas, Eric Johnson menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu tragedi.


Katanya, walaupun jumlah mangsa belum dapat dikenal pasti ketika ini, tiada mangsa dalam kalangan penonton mahupun petugas lain dilaporkan.

Tambahnya kira-kira 4,000 penonton berada di pertunjukan tersebut semasa kejadian.

Pesawat B-17 memainkan peranan penting dalam kemenangan ke atas Jerman ketika Perang Dunia Kedua.

Pesawat kedua dikenal pasti sebagai pesawat P-63 Kingcobra yang hanya digunakan oleh Tentera Udara Soviet ketika itu.