Menurut jurucakap Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), mereka yang dibebaskan ialah wartawan Al-Jazeera dari United Kingdom, Mina Harballou dan Hoda Rakhme dari Rusia.
"Bagaimanapun, wakil tunggal Malaysia dalam misi itu, Dr Fauziah Mohd Hasan masih ditahan di pusat tahanan dekat Lapangan Terbang Ben Gurion (Tel Aviv)," katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut laman web 'Women's Boat to Gaza' (WBG), kedua-dua wartawan agensi berita Al Jazeera itu telah selamat tiba di London dan Moscow.
“Kesemua 11 wanita anggota misi Women's Boat to Gaza, sehingga kini masih ditahan, tetapi kami menjangkakan mereka akan dibawa keluar sedikit masa lagi. Mereka telah bergerak dari penjara di Givon ke pusat tahanan di lapangan terbang Ben-Gurion,” menurut kenyataan di laman web itu.
Beliau berkata menurut sumber Freedom Flotilla Coalition yang mengasaskan kempen WBG itu, peguam hak asasi manusia sedang cuba berhubung dengan kesemua anggota misi yang menaiki kapal Zaytouna-Oliva berkenaan dalam usaha membebaskan mereka.
Tentera Israel menahan kapal itu bersama tiga kru dan 10 aktivis wanita termasuk Dr Fauziah pada 2.58 petang semalam waktu tempatan (9.58 malam waktu Malaysia).
Selain Dr Fauziah, 12 anggota lain misi terbabit adalah:
1. Madeleine Habib, Kapten kapal dari Australia
2. Ann Wright, Ketua misi dan bekas diplomat dari Amerika Syarikat
3. Marama Davidson, Ahli Parlimen New Zealand
4. Synne Sofie Reksten, pelajar dan anak kapal dari Norway
5. Sandra Barrilaro, Jurugambar dari Sepanyol
6. Samira Douaifia, Ahli Parlimen dari Algeria
7. Leigh Ann Naidoo, juara bola tampar dari Afrika Selatan
8. Jeannette Escanilla, Ahli Parlimen dari Sweden
9. Emma Ringqvist, guru muzik dan anak kapal dari Sweden
10. Mairead Maguire, Penerima hadiah Nobel Peace Laureate dari Ireland Utara
11. Hoda Rakhme, juruvideo/editor dari Al-Jazeera, menetap di Moscow
12. Mina Harballou, wakil Al-Jazeera, menetap di London
Kapal itu yang dalam perjalanan menuju ke Gaza dikepung rejim Zionis sebelum ditahan dan ditunda tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod.