Pendakwaan tersebut mendakwa tindakan haram itu dilakukan Adams sejak tahun 2014, ketika beliau menjawat jawatan sebagai Presiden Daerah Brooklyn.
"Selama hampir satu dekad, Adams mencari dan menerima manfaat bernilai yang tidak sepatutnya seperti perjalanan mewah ke luar negara, termasuk daripada ahli perniagaan asing kaya dan sekurang-kurangnya seorang pegawai kerajaan Turkiye yang cuba mendapatkan pengaruh ke atasnya," menurut laporan pendakwaan itu.
Laporan itu turut menyebut, Adams mencari dan menerima dana kempen haram dan lebih AS$100,000 (RM414,000) faedah perjalanan mewah daripada pegawai kerajaan Turkiye itu.
Adams, 64, merupakan bekas pegawai polis yang telah dipilih untuk mengetuai bandar paling ramai penduduk Amerika Syarikat (AS) itu hampir tiga tahun lalu dengan janji untuk bersikap tegas terhadap jenayah.
Datuk Bandar itu, bagaimanapun, menafikan sebarang salah laku dan menolak gesaan untuk meletakkan jawatan.
"Saya meminta warga New York menunggu untuk mendengar pembelaan kami sebelum membuat sebarang penghakiman," kata Adams pada sidang akhbarnya pada Khamis.
"Saya mengikut peraturan, saya mengikut undang-undang Persekutuan, saya tidak melakukan apa-apa atau mengambil bahagian dalam aktiviti kempen haram."
Sidang berita itu kerap diganggu oleh penduduk New York yang menggelar Adams sebagai "menghina" bandar tersebut dan menuntut "keadilan."
Jika sabit kesalahan, Datuk Bandar itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga 45 tahun.
Gabenor New York, Kathy Hochul yang mempunyai kuasa untuk memecat Datuk Bandar daripada jawatannya berkata, beliau sedang menyemak pertuduhan.
Dakwaan itu mendedahkan, aktiviti yang didakwa berlangsung selama 10 tahun bermula ketika Adams menjadi Presiden wilayah Brooklyn berterusan selepas beliau menjadi Datuk Bandar.
Dalam satu pertukaran teks yang didakwa termasuk dalam dakwaan, seorang kakitangan Adams dan pengurus syarikat penerbangan membincangkan di mana Datuk Bandar harus tinggal dalam perjalanan ke Turkiye.
Selepas pengurus syarikat penerbangan mencadangkan Four Seasons, kakitangan berkenaan menjawab "ia terlalu mahal."
"Kenapa dia perlu risau? Dia tidak akan membayar," jawab pengurus itu.
"Super," kata kakitangan Adams itu.
Pendakwa raya mendakwa, kakitangan yang sama meminta pengurus syarikat penerbangan itu mengenakan harga rekaan kepada Adams untuk perjalanannya sebagai modus operandi untuk menyembunyikan layanan yang baik.
"Setiap langkahnya sedang diperhatikan sekarang," kata kakitangan itu yang turut mencadangkan Datuk Bandar dikenakan bayaran AS$1,000 (RM4,140) untuk penerbangan ke Turkiye.
"Biarlah ia kelihatan nyata."
Pada sidang akhbar Khamis, peguam AS untuk Daerah Selatan New York, Damian Williams mendakwa Datuk Bandar itu menjalin hubungan dengan warga asing untuk mengambil dana haram bagi kempennya pada 2021.
“Pada 2023 Datuk Bandar menghidupkan semula hubungan rasuah ini, mencari lebih banyak sumbangan kempen haram daripada beberapa sumber asing yang sama untuk menyokong kempen pemilihan semula beliau,” dakwa Williams.
Surat dakwaan menyatakan Adams menggunakan penderma proksi - satu skim yang digunakan oleh seseorang atau entiti untuk mengelak had kewangan kempen - untuk menerima sumbangan haram daripada entiti asing.
Pendakwa raya berkata, kempennya juga memohon dan menerima dana New York yang sepatutnya sepadan dengan sumbangan dolar kecil daripada penduduk bandar, yang berjumlah lebih daripada AS$10 juta (RM41.44 juta).
Adams juga dituduh cuba menyembunyikan faedah yang diterimanya, menyembunyikan hadiah daripada borang pendedahan tahunan dan memberitahu konspirator bersama dia "sentiasa" memadamkan mesej teks yang berkaitan dengan perjalanan haram dan hadiah, menurut dokumen mahkamah. - Agensi