LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson tidak merancang mengenakan sekatan lanjut di England untuk membendung peningkatan ketara varian  Omicron.

Johnson, yang menetapkan peraturan kesihatan di England, memperkenalkan langkah COVID-19 "Pelan B" pada Rabu.

Pelan itu menguatkuasakan semula arahan bekerja dari rumah, memakai pelitup muka di tempat awam dan menggunakan pas vaksin untuk memperlahankan penyebaran Omicron.

Terdapat 1,265 kes Omicron yang disahkan secara genomik di United Kingdom.

Bagaimanapuan Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid mengesahkan ia telah merebak dalam komuniti dan menganggarkan jumlah jangkitan Omicron lebih hampir kepada 10,000.

Pelan B adalah sebahagian strategi untuk memberikan sedikit masa bagi memahami lebih lanjut tentang varian itu sambil meneruskan dengan dos penggalak.

Walaupun Omicron menunjukkan tanda-tanda ia kalis vaksin, penemuan awal daripada kajian dunia sebenar yang dikeluarkan pada Jumaat mencadangkan bahawa dos penggalak memulihkan perlindungan.

Bagaimanapun Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) menjangkakan Britain catat kes varian Omicron melebihi satu juta menjelang akhir bulan ini.

Pada Jumaat Vritain melaporkan 58,194 kes harian baharu COVID-19, jumlah harian tertinggi sejak Januari.