Thailand telah mencatat 32 kes baharu COVID-19 hari ini dan kematian sifar selama dua hari berturut-turut menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini ialah 2,765 manakala angka korban kekal 47 orang.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata 141 pesakit sembuh dan kembali ke rumah masing-masing menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang didiscaj dari hospital setakat ini ialah 1,928 orang manakala 790 lagi masih menerima rawatan.

Beliau berkata sembilan wilayah di Thailand kekal bebas jangkitan COVID-19.

"Sejumlah 33 wilayah tidak mencatat kes baharu COVID-19 dalam tempoh 14 hari lepas," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Dari Januari hingga Mac, Thaweesilp berkata kira-kira 36 peratus kes COVID-19 dikaitkan dengan mereka yang kembali dari luar negara manakala 20 peratus adalah golongan yang berkunjung ke pusat hiburan.

Bagaimanapun, dari bulan Mac hingga April, beliau berkata 36 peratus kes baharu dikaitkan dengan pesakit yang merupakan kontak rapat pesakit yang disahkan sebelum ini, kebanyakannya ahli keluarga manakala 14 peratus lagi adalah mereka yang melakukan perjalanan ke Thailand.

Memandangkan situasi di negara itu semakin pulih, ramai yang menggesa kerajaan menarik balik sekatan kerana Dekri Perintah Darurat akan berakhir pada 30 April.

Sesetengah pusat membeli-belah kini membuat persiapan untuk membuka semula dan kembali beroperasi seperti biasa.

Thaweesilp berkata Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan satu mesyuarat bagi membincangkan dan memutuskan perkara itu.

"Tidak pasti sama ada Perintah Darurat akan dilanjutkan atau sebaliknya, ia bergantung kepada penilaian dan tingkah laku rakyat," katanya.

Ketika ini, beliau berkata negara itu mencatat kira-kira 30 kes baharu setiap hari.

"Ia memuaskan bagaimanapun belum cukup baik... kami perlu mengekalkan jumlah kurang dari 10 kes positif baharu setiap hari," katanya.

-- BERNAMA