BANGKOK: Thailand mencatatkan 2,713 lagi kes baharu COVID-19 dan 30 kematian, sejak 24 jam lalu menjadikan jumlah jangkitan setakat ini sebanyak 132,213 serta 806 kematian.

Kes baharu itu merangkumi 2,664 penularan tempatan dan 49 kes import, termasuk 41 rakyat Thailand yang balik dari Kemboja, kata Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan.

Beliau berkata untuk kes kematian pula melibatkan 20 lelaki dan 10 wanita berusia antara 28 hingga 105 tahun termasuk 11 di Bangkok, Nakhon Ratchasima dan Ratchaburi (masing-masing tiga) dan Samut Sakhon dan Samut Prakan (masing-masing dua).

"Seramai 43,233 orang sudah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 manakala 2,340 lagi terima dos kedua.

"Thailand telah memvaksin hampir tiga juta orang setakat ini," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Progam vaksinasi besar-besaran dijangka bermula 7 Jun apabila kumpulan pertama vaksin AstraZeneca buatan tempatan siap untuk digunakan.

-- BERNAMA