BANGKOK: Kementerian Kesihatan Awam Thailand berhasrat melaksanakan pengesanan kes aktif di 684 pasar segar di Bangkok dan 28 kawasan 'zon merah gelap'.

Timbalan jurucakap kerajaan, Traisuree Taisaranakul berkata, sebanyak 132 pasar di 23 wilayah mencatatkan 14,678 kes jangkitan sejak 1 April hingga 10 Ogos, menurut data Kementerian Kesihatan Awam.

Beliau berkata pengesanan kes aktif akan dilakukan di semua pasar segar serta kawasan penempatan di Bangkok dan 28 wilayah lain melibatkan lebih 200,000 orang.

"Sebanyak 850,000 kit ujian antigen COVID-19 akan digunakan dalam program pengesanan itu, dan kemungkinan mengambil masa sebulan," katanya.

Pada Isnin, Thailand mencatat 17,491 kes baharu COVID-19 dan 242 kematian, menjadikan jumlah terkini mencecah 1,066,786 dan 9,562 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata kes baharu yang dikesan itu termasuk 2,072 melalui pengesanan kes aktif dan tujuh lagi kes import.

-- BERNAMA