LONDON: Britain akan memulakan penggunaan pil COVID-19 keluaran Pfizer bermula bulan depan.

Kementerian Kesihantannya dalam satu kenyataan memaklumkan, ia akan dimulakan kepada golongan rentan dengan masalah kesihatan.

Jelasnya, pil antiviral, Paxlovid itu akan mula diguna pakai terhadap lebih ribuan individu bermula 10 Februari nanti.

Pengarah Perubatan Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS), Stephen Powis menyambut baik perkara tersebut serta berkata pil berkenaan dapat membantu mengawal penularan COVID-19 di negara itu.

Malah jelasnya, hasil ujian klinikal menunjukkan ia mampu menurunkan kadar kemasukan ke hospital dan mengurangkan risiko kematian sehingga 88 peratus.

Ujarnya, ia adalah langkah terbaik untuk melindungi ribuan nyawa rakyatnya.

Untuk rekod, Britain memesan 2.75 juta pil Paxlovid dan kerajaan akan menetapkan butiran lanjut berkenaan akses kepada rawatan tersebut tidak lama lagi.

Ia merupakan pil antiviral kedua digunakan di Britain selepas Molnupiravir, yang dikeluarkan syarikat Merck.