Kes kematian akibat COVID-19 seluruh dunia hampir mencecah 5,000 mangsa, menurut statistik daripada Worldometer berkaitan wabak tersebut.

Setakat jam 11 pagi Jumaat, angka kematian direkodkan sebanyak 4,979 kes seluruh dunia manakala angka jangkitan positif COVID-19 mencecah 134,702 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 70,381 pesakit telah sembuh daripada wabak tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, iaitu merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata.

Virus itu telah menyerang 127 buah negara dengan sebuah kapal pesiaran yang mempunyai penumpang lebih daripada 3,500 orang iaitu Diamond Princess.

China masih merekodkan jumlah jangkitan dan kematian tertinggi setakat ini dengan masing-masing sebanyak 80,814 dan 3,176.

Sementara itu, Itali merekodkan kes kematian tertinggi di luar China dengan melebihi angka 1,000 mangsa iaitu 1,016, pada Jumaat.

Jumlah kes jangkitan di negara itu pula mencecah 15,113.

Dalam pada itu, Iran merupakan negara ketiga tertinggi kes jangkitan positif COVID-19 dengan jumlah kes mencecah 10,075 dan 429 kematian.

Korea Selatan pula menjadi negara keempat tertinggi jangkitan COVID-19 yang menyertai tiga negara teratas mempunyai kes positif melebihi 5,000 dengan 7,979 kes positif manakala 67 kes kematian.

Sementara itu, di Malaysia setakat jam 11 pagi ini, sebanyak 158 kes positif dikesan dengan pertambahan sebanyak sembilan kes pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Khamis berkata, ketika ini Malaysia telah memasuki gelombang kedua wabak tersebut.

“Setakat ini kes positif COVID-19 dikesan di Sabah, Pahang, Johor, Perak dan Kelantan,” jelas beliau.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengesan jemaah tabligh yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu susulan kes positif COVID-19 di Brunei disahkan menghadiri perhimpunan tersebut.

Difahamkan sebanyak 10,000 jemaah tabligh dari pelbagai negara menghadiri perhimpunan tersebut.

Berkuatkuasa hari ini (Jumaat), rakyat dari Itali, Iran dan Republik Korea serta warga asing dari negara itu tidak dibenarkan masuk ke Malaysia atau transit di mana-mana pintu masuk antarabangsa (PMA).

Larangan sama dikenakan rakyat dari Denmark bermula 14 Mac.