Singapura dalam pengesahan awal memaklumkan tambahan 47 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan pandemik di republik ini 57,091.

"Berdasarkan siasatan kami setakat ini, tiada kes dalam komuniti," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini.

MOH berkata terdapat satu kes import, yang telah diserahkan Notis Duduk Di Rumah sebaik sahaja tiba di Singapura.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 939 kes yang dilaporkan sebagai import, kes komuniti 2,230 dan 53,875 melibatkan penghuni asrama.

Seramai 56,408 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan 51 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dan tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sejumlah 558 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi diuji positif bagi COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik ini.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

-- BERNAMA