BEIJING: Menteri Perdagangan China Wang Wentao mengadakan perbualan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Gina Raimondo pada Selasa.

Kedua-dua pihak mengadakan perbincangan secara berterus terang, mendalam dan pragmatik mengenai pelaksanaan konsensus yang dicapai pemimpin AS dan China di San Francisco, serta isu ekonomi dan perdagangan yang menjadi tumpuan bersama.

Wang berkata pertemuan bersejarah pemimpin kedua-dua negara di San Francisco pada November lepas menggariskan hala tuju tentang hubungan ekonomi dan perdagangan AS-China pada masa depan.

"Hubungan ekonomi dan perdagangan patut berperanan sebagai asas bagi hubungan kedua-dua negara.

"China bersedia bersama pihak AS melaksanakan konsensus berkenaan berdasarkan prinsip saling menghormati, wujud bersama secara damai dan kerjasama saling menang, agar mendorong hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS kembali ke landasan yang betul," kata Wang.

Wang juga melahirkan kebimbangan China berhubung dasar Washington terhadap semi konduktor dan sekatannya terhadap kenderaan bersambung pintar (ICV) China.

Beliau menyatakan bahawa menetapkan batas sempadan keselamatan negara dalam bidang ekonomi dan perdagangan amat penting bagi memelihara kestabilan rantaian perindustrian dan rantaian bekalan global serta mewujudkan dasar yang baik bagi kerjasama industri kedua-dua negara.

"AS digesa mengambil serius kebimbangan syarikat China, menarik balik sekatan terhadap perusahaan China secepat mungkin, dan membaiki iklim perniagaan bagi perusahaan China di AS," kata Wang.

-- BERNAMA