KUALA LUMPUR: Presiden China, Xi Jinping mengadakan lawatan rasmi ke Perancis pada 5 hingga 7 Mei lalu atas undangan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Dalam pertemuan antara kedua-dua ketua negara itu, Jinping dan Macron bertukar pandangan secara mendalam mengenai situasi yang berlaku di Asia Barat.

Kedua-dua pemimpin itu menggariskan kenyataa bersama berhubung konflik yang sudah berlanjutan selama tujuh bulan itu.

Berikut butiran kenyataan bersama China-Perancis seperti yang dikongsi dalam hantaran di Facebook Kedutaan China di Malaysia:

Pertama: Sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), China dan Perancis berusaha bersama-sama untuk mencari penyelesaian yang konstruktif berdasarkan undang-undang antarabangsa bagi menghadapi cabaran dan ancaman kepada keselamatan dan kestabilan antarabangsa.

Kedua: Kedua-dua negara mengecam sebarang tindakan yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk sebarang tindakan keganasan dan serangan sembarangan yang menyasarkan orang awam.

Kedua-dua negara sekali lagi menegaskan keperluan mutlak untuk melindungi orang awam di Gaza berdasarkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Mereka juga menentang serangan Israel ke atas Rafah yang akan membawa kepada malapetaka kemanusiaan berskala lebih besar dan juga pemindahan paksaan penduduk awam Palestin.

Ketiga: Kedua-dua ketua negara menekankan bahawa perkara yang paling mendesak kini adalah melaksanakan gencatan senjata yang konsisten dengan serta-merta, memastikan bantuan kemanusiaan yang besar-besaran ke Gaza ditawarkan dan keselamatan penduduk awam terjamin.

Mereka juga menyeru agar semua tebusan dibebaskan segera tanpa syarat dan akses bantuan kemanusiaan dipastikan supaya keperluan perubatan dan kemanusiaan yang lain di Gaza dipenuhi dan mematuhi undang-undang antarabangsa semasa menangani isu-isu berkaitan semua orang yang ditahan.

Mereka juga menyeru untuk melaksanakan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan segera dan berkesan terutamanya Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2712, 2720 dan 2728. 

Ini adalah satu-satunya cara yang boleh dipercayai untuk menjamin keamanan dan keselamatan untuk semua dan juga yang dapat memastikan rakyat Palestin mahupun Israel tidak lagi hidup sengsara sejak serangan yang berlaku pada 7 Oktober 2023.

Keempat: Kedua-dua ketua negara menyeru untuk membuka semua laluan dan pintu masuk yang perlu bagi membolehkan bantuan kemanusiaan yang pantas, selamat dan mampan ditawarkan di seluruh Semenanjung Gaza tanpa halangan. Mereka menekankan kepentingan memperkukuh penyelarasan usaha kemanusiaan antarabangsa.

Kelima: Kedua-dua ketua negara menyeru semua pihak untuk mengelakkan pengambilan tindakan unilateral yang mungkin memburukkan ketegangan tempatan.

Dalam hal ini, mereka mengecam dasar Israel membina penempatan yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Dasar ini akan menjadi halangan besar kepada kedamaian yang berkekalan dan juga kemungkinan  pembentukan negara Palestin yang berdaya maju dan mempunyai tanah yang bersambung pada masa depan.

Kedua-dua ketua negara menegaskan bahawa tadbir urus Gaza pada masa depan tidak boleh dipisahkan daripada penyelesaian politik menyeluruh konflik Palestin-Israel berdasarkan “Penyelesaian Dua Negara”.

Keenam: Kedua-dua ketua negara menggesa pelancaran semula proses politik yang tegas dan tidak boleh diubah untuk melaksanakan "Penyelesaian Dua Negara" secara konkrit, memastikan Israel dan Palestin hidup dengan aman damai dan selamat sebagai jiran, menjadikan Jerusalem sebagai ibu negara bersama dan menubuhkan Palestin sebuah negara yang mampu bertahan, merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan tahun 1967.

Mereka menegaskan komitmen kedua-dua negara terhadap penyelesaian ini sebagai satu-satunya jalan yang boleh dipercayai untuk memenuhi harapan yang munasabah rakyat Palestin dan Israel terhadap kedamaian dan keselamatan yang berkekalan.

Ketujuh: Kedua-dua ketua negara turut melahirkan kebimbangan mendalam terhadap risiko peningkatan ketegangan di rantau ini dan menyeru untuk mengelakkan pergolakan serantau.
China dan Perancis sedang bekerjasama dengan rakan-rakan mereka untuk meredakan keadaan dan menyeru semua pihak untuk menahan diri.

Kelapan: China dan Perancis mengulangi komitmen untuk mendorong penyelesaian secara politik dan diplomatik bagi isu nuklear Iran. Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) berkaitan nuklear Iran 2015 merupakan hasil penting diplomasi pelbagai hala.

Kedua-dua negara memberi perhatian terhadap risiko pemburukan keadaan, menegaskan kepentingan kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa dan usaha diplomatik serta konmitmen kedua-dua negara untuk menyumbang kepada pemeliharaan sistem kawalan nuklear antarabangsa dan memperkukuh keamanan dan kestabilan di Timur Tengah.

Kesembilan: Kedua-dua ketua negara menekankan kepentingan memelihara kebebasan pelayaran di Laut Merah dan Teluk Aden dan menyeru untuk menghentikan segera serangan ke atas kapal awam untuk memastikan keselamatan maritim dan perdagangan global.
Mereka juga menyeru untuk mencegah ketegangan di rantau tersebut serta risiko kemanusiaan dan alam sekitar.

Kesepuluh: Kedua-dua ketua negara menyeru untuk mencapai gencatan senjata Olimpik semasa Sukan Olimpik Musim Panas dan Paralimpik pada tahun 2024.
Gencatan senjata Olimpik menyeru semua pihak agar menghentikan tindakan permusuhan sepanjang tempoh Sukan Olimpik.

Seiring dengan penyebaran konflik dan peningkatan ketegangan, gencatan senjata memberi peluang untuk berusaha ke arah penyelesaian konflik dengan mematuhi undang-undang antarabangsa sepenuhnya.