BEIJING: Kementerian Perdagangan China mengkritik rancangan Suruhanjaya Eropah untuk mengenakan duti import sehingga 36.3 peratus ke atas kenderaan elektrik (EV) buatan China, dan berjanji akan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi hak dan kepentingan sah syarikat-syarikat China.

Bulan lalu, suruhanjaya itu mengenakan tarif tambahan sementara sehingga 37.6 peratus ke atas pengeluar EV China selepas melancarkan siasatan anti-subsidi terhadap EV China pada Oktober 2023, lapor Xinhua.

Pada Selasa, Suruhanjaya Eropah menerbitkan draf rancangan untuk menjadikan tarif itu muktamad, tertakluk kepada kelulusan negara-negara anggota EU.

Menurut jurucakap kementerian, proses siasatan antisubsidi suruhanjaya terhadap EV China tidak mematuhi peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan merupakan tindakan "persaingan tidak adil" yang berselindung di sebalik "persaingan adil."

Jurucakap itu menegaskan bahawa amalan salah suruhanjaya itu akan mengganggu kestabilan rantaian bekalan automotif global dan menjejaskan kepentingan pengguna Eropah. Selain itu, ia juga akan menjejaskan transformasi hijau EU dan kerjasama global dalam menangani perubahan iklim.

Jurucakap itu juga berkata bahawa kedua-dua pihak mengadakan lebih 10 pusingan rundingan teknikal mengenai kes ini sejak akhir Jun dan menyeru EU mengambil langkah praktikal bagi mengelakkan peningkatan pertikaian perdagangan.

-- BERNAMA