Orang Hindu yang warak, pada masa senja hayat mereka telah lama pergi ke Varanasi untuk menghabiskan sisa-sisa hidup mereka di kota-kota suci sepanjang sungai paling suci, Gangga.
Sebaliknya, Sant Kabir, ikonoklas yang tua memilih untuk berjalan meninggalkannya walaupun beliau lahir di situ -- menolak amalan dan orthodoks Hindu purba.
Beliau bukan yang pertama dan bukan besar kemungkinannya yang terakhir, yang mengambil jalan keluar dari Varanasi, meninggalkan dunia Brahmin dan fahaman kasta. Malah ketika Hinduisme, atau lebih tepat lagi ialah aliran nasionalis Hindutva dan kuasa primordial kasta yang kelihatan berkuasa penuh, tindakan mempersoalkan dan mencabar kedua-duanya telah berlaku sejak zaman Gautama Buddha yang mati hampir seribu tahun sebelum Kabir lahir.
Malah Kabir akan lebih berkemungkinan melalui bekas peninggalan biara-biara dan kuil di Sarnath, yang terletak di luar Varanasi di mana Buddha menyampaikan khutbah pertamanya. Ketika mana Buddhisme sendiri sudah menghilang di tempat kelahirannya di India, aliran reformis yang dimulakannya telah berterusan sehingga ke hari ini.
Dan Sant Kabir adalah lebih merupakan pejuang tradisi reformis "bhakti." Lahir dalam kasta penenun yang rendah, beliau bagaimanapun mempelajari kitab-kitab Hindu dan dari eklektisisme dan dakapan bersungguh-sungguh ke atas kemanusiaan inilah yang memperkaya puisinya. Ia memiliki keindahan jelas -- merayakan kedua-dua kerohanian dan kepelbagaian -- di samping membuang hipokrisi dan kepalsuan.
Sant Kabir -- sekurang-kurangnya selepas kematiannya -- akan dituntut oleh kedua-dua, orang Hindu dan Islam. Malah terdapat legenda bahawa apabila Kabir mati, orang tempatan dari kedua-dua agama menuntut untuk mendapatkan hak pengebumian jasadnya menurut amalan mereka masing-masing tetapi apabila mereka membuka kain yang menutup jasadnya, apa yang mereka temu hanyalah bunga liar. Ia kemudian dibahagkan: orang Islam menanam bahagian mereka di Maghar dan orang Hindu membawanya ke Varanasi untuk dibakar.
Malah apabila Pasukan Ceritalah mengunjungi makamnya di Maghar, di daerah Sant Kabir Nagar di UP, kami menemui sebuah tepmat yang amat dimuliakan oleh kedua-dua Hindu dan Muslim. Malah Dalit (atau apa yang dipanggil golongan "yang tidak boleh disentuh") menziarahnya untuk berdoa bagi tuaian yang baik, pekerjaan bagi anak-anak mereka dan perlindungan dari tuan tanah.
Dapat difahami mungkin legasi beliau kekal menjadi rebutan sengit dalam detik "hanya-di-India," Perdana Menteri, Narendra Modi yang disokong BJP mengadakan lawatan ke makam itu pada Jun 2018 untuk memperingati ulang tahun ke-500 kematian Santh.
Adalah kelihatannya seolah-olah Kabir yang dalam hidupnya memperjuangkan rasionalisme kerohanian telah sepenuhnnya berlawanan dengan (dan dihujahkan berbahaya dalam) India pimpinan Modi, telah dituntut oleh semua pihak.
Lagipun, apabila timbul soal politik dan masyarakat di India, semua jalan kelihatannya menjurus balik ke Gangga. Ini mungkin sesuatu yang tidak mengejutkan apabila seseorang memikirkan kepentingan UP seperti mana Ceritalah menekankannya berulangkali.
Tentunya, terdapat lebih banyak lagi pada India daripada satu negeri ini, walaupun ia adalah negeri yang memiliki paling banyak penduduk dan ahli parlimen. Tetapi UP -- termasuk
bahagiannya pada Gangga -- telah menjadi tempat kelahiran bukan saja pergerakan agama, tetapi juga politik radikal.
Lima abad selepas Kabir, Ram Manohar Lohia, seorang sosialis telah menghimpun bukan saja petani luar bandar tetapi juga pengusaha perahu di Gangga dan kasta penenun yang mana asalnya Sant Kabir dalam penentangannya terhadap tuan-tuan tanah feudal UP.
Maju ke depan, pada hari ini dan kita dapati dua parti berpangkalan di UP, Samajwadi (SP pimpinan bekas Ketua Menteri UP Akhilesh Yadav dan Bahujan Samaj (BSP pimpinan seorang lagi Ketua Menteri, Mayawati muncul sebagai apa yang dihujahkan sebagai pembangkang sebenar terhadap BJP di sana.
Sementara bapanya, Mulayam Singh kekal berpengaruh, SP pimpinan Akilesh melihat dirinya sebagai penerus perjuangan sosialis Lohia yang kini disokong oleh kasta pertengahan pertanian Yadav. Kesan keadaan ini terbaik dapat dilihat di sebuah pekan kecil di timur UP iaitu Bashti yang mana Pasukan Ceritalah mendapati kolej tempatannya penuh dengan pelajar-pelajarnya yang memperoleh biasiswa kerajaan dan nenek-nenek tua yang kerepot menerima pencen bulanan janda.
Kebangkitan Mayawati untuk menjadi ikon Dalit sebaliknya telah banyak ditulis. Beliau juga secara kontroversi bertindak untuk menamakan semula tempat atau membina tugu-tugu untuk tokoh-tokoh Dalit seperti B.R. Ambedkar.
Maka tentunya keadaan ini bercanggah dengan wawasan BJP yang memimpin negeri itu melalui seorang sami Hindu militan Yogi Adityanath. Ia mendedahkan banyak perkara terhadap Adityanath -- yang telah mengundang kemarahan dengan kata-katanya yang anti-Kristian, Islamofobia dan seksis -- dipandang telah membelakangkan ibu kota UP, Lucknow.
Pernah satu ketika ia merupakan pusat utama kerajaan Muslim Awadh, kota itu dipenuhi dengan masjid dan biriyani yang kaya dan mewah, adalah kesemuanya merupakan wajah yang golongan Yogi dan sekutunya BJP tidak mahu terjadi pada India. Ia adalah sinkretik, wadah percampuran pengkayaan budaya dan pada waktu sama masih mengandungi rasa keseronokan.
Kedua-dua orang Hindu dan Islam Lucknow berasa dipinggirkan kalau tidak pun dihina oleh kerajaan yang berpejabat di bandar mereka sendiri, sesuatu yang sebelum ini tidak terfikir oleh mereka boleh berlaku.
Adityanath (seperti kunjungan pulang Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang sering dilakukan ke atas Kota Davao) balik hampir setiap malam ke bandar asalnya, Gorakhpur, 270 kilometer jauhnya.
Mungkin akhirnya tidak boleh dielakkan, bandar itu dikenali dengan kuil Gorakhnath Math. Apabila tidak sibuk sebagai Ketua Menteri, Adiyanath menguruskan sebuah ashram yang besar dan sebuah kumpulan agama bersenjata di sana yang dipanggil Hindu Yuva Vahini.
Seorang lagi fakta "hanya di India": Gorakphur benar-benar hampir dengan Maghar yang mana Kabir bersemadi dalam sebuah makam Islam.
Orang tempatan yang kami temui melawak bahawa pekan kecil mereka telah menjadi ibu kota kedua UP. Malah, desa-desa mereka, di mana Adityanath menjadikannya sebagai pangkalan, telah mengelak diri daripada bertindak seperti BJP sebelum ini yang menetap di kota-kota seperti Lucknow.
Di bawah Adityanath, parti itu menunjukkan mereka juga boleh bermain politik "menamakan semula," dengan mengubah nama Allahabad kepada "Prayagraj" dan mencurahkan sokongan kepada pesta Kumbh Mela yang diadakan setiap enam tahun di pertembungan sungai Gangga dan Yamuna di Varanasi.
Apabila Pasukan Ceritalah merenung Gangga, airnyaya yang lembut dan berwarna coklat sedang mengalir lesu.
Tetapi ketenangan ini mungkin mengelirukan seperti mana pengundian dalam pilihan raya yang panjang dan berakhir pada 19 Mei 2019.
Sant Kabir mungkin telah berjalan meninggalkan Varanasi. Tetapi jasadnya (jika anda percaya legenda berkenaan) yang terbahagi berada di sini, ditabur di Varanasi dan ditanam di Meghar, kedua-duanya hampir atau di atas Gangga.
Sungai Gangga merupakan sumber kehidupan bagi orang yang tinggal di tebingnya.
Ia juga telah melahirkan dan menghidupkan bukan saja kepercayaan dan menawan hati nurani jutaan seluruh dunia, tetapi juga banyak wajah identiti India: pluralistik dan fanatik, radikal dan reaksioner, egalitarian dan penuh berkasta.
Yang manakah akan menang pada akhirnya?
Kita akan ketahui tidak lama lagi tetapi apapun yang berlaku, Gangga akan terus mengalir.
* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.