IA merupakan salah satu daripada imej paling ikonik dalam sejarah Asia Tenggara - Raja Thailand Bhumipol (Rama IX) bersemayam dengan sekumpulan ahli politik bertelagah yang sujud di depannya. Tarikh: 20 Mei 1992.

Raja baru saja campur tangan, menitahkan supaya rusuhan berdarah yang melumpuhkan Bangkok dihentikan. Kita semua tahu bagaimana ia berakhir. Pembantah bersurai. Pemimpin junta letak jawatan. Secara beransur, Thailand kembali pada pemerintahan awam.

Juga turut menyembah di sebelah Raja adalah seorang yang hebat, iaitu penasihatnya, Prem Tinsulanonda - yang meninggal dunia pada awal tahun ini, pada umur 98 tahun, melebihi usia raja itu (yang mangkat pada 2018 pada usia 88 tahun) dari segi jangka hayat.

Sementara Raja Bhumipol adalah jelas merupakan tokoh yang terserlah dalam sejarah lepas perang Thai, orang di belakang baginda, seperti Prem, kedudukan mereka juga tidak kurang penting.

Prem tunduk sembah di hadapan Raja Bhumibol Adulyadej ketika majlis penganugerahan gelaran sebagai King Bhumibol the Great, di Dewan Takhta Chai Mangkalaphisek Thong Sanam Luang, 5 Dis, 1987. Foto Ceritalah

Malah, Asia Tenggara menyaksikan beberapa pasangan politik yang menakjubkan dan berkuasa penuh - dari Singapura, Lee Kuan Yew dan Goh Keng Swee (orang yang berada di belakang kisah kejayaan ekonomi republik pulau itu) kepada Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin. Bagamanapun, Suharto dari Indonesia (telah meraih kuasa dalam satu rampasan kuasa) tidak pernah benar-benar mempercayai sebarang orang kanannya untuk mengizinkan mereka memiliki kuasa yang setaraf.

Prem dilahirkan di wilayah selatan Songkhla pada 1920. Datang dari latar belakang yang boleh dikatakan sederhana (bapanya adalah pengawal penjara), beliau kemudian menyertai tentera, menjadi terkenal hanya ketika berusia 50-an ketika Perang Dunia sedang melanda sepanjang Indochina.

Seperti yang dikehendaki takdir, di pertengahan 70-an, Prem menjadi pemerintah Tentera Kedua di wilayah timur laut Isaan yang mana Parti Komunis Thailand (CPT) adalah secara khususnya aktif.

Prem mengambil suatu pendekatan bernuansa, memberikan pengampunan dan menggalakkan pembangunan akar umbi.

Raja Bhumibol Adulyadej bercakap dengan Prem Tinsulanonda yang ketika itu Perdana Menteri ketika mereka melawat satu projek pengairan di utara Thailand, 16 Feb, 1981. Agensi/Ceritalah

Sementara beliau bukanlah penentu inisiatif-inisiatif ini, kejayaannya di Isaan menjadi tanda perubahan bagi perjuangan menentang komunis dan seorang raja yang berterima kasih dengan menunjukkan penghargaannya melalui langkah membawa jeneral yang tegas itu ke dalam kelompok dalamannya. Malah, kedua-dua tokoh itu berkata lembut, tidak mempercaya ahlii politik dan amat mendokomg tradisi Thai.

Prem akhirnya menjadi ketua tentera Thai dalam tahun 1978, menyandang jawatan perdana menteri dalam tahun 1980. Walaupun beliau tidak diuji dalam pilihan raya, Prem dengan dokongan istana) memerintah dari tahun 1980 hingga 1988.

Sementara beliau bukanlah seorang berwawasan atau seseorang yang mempunyai banyak idea, ketabahan beliau (menggagalkan dua percubaan rampasan kuasa) telah memastikan satu jangka waktu ketenangan politik yang membolehkan ekonomi melonjak -- dengan KNK Thai hampir menggandakan saiznya dari ASD32.35 bilion pada 1980 kepada ASD61.67 bilion pada 1988.

Prem percaya dengan memperkasakan teknokrat (seperti Snoh Unakol, orang kuat ekonominya) dan mereka pula memastikan transisi berjaya daripada politi masyarakat yang dominannya pertanian kepada pusat tenaga pembuatan dan berorientasikan eksport.

Prem antara pengundi awal pilihan raya umum di Bangkok, 24 Mac 2019. Agensi/Ceritalah

Seperti yang pernah dicatat sejarawan Chris Baker: Raja Bhumipol berpendapat Prem ialah orang kanan yang ideal. Prem bukanlah sangat sebagai kuasa kreatif dalam pembinaan "Era Bhumipol", tetapi beliau lebih kepada sebagai tokoh operasi dan, dalam hal ini, beliau amat penting."

Walaupun terpaksa menyerahkan kuasa kepada seorang ahli politik yang menang pilihan raya pada 1988, Prem kekal berpengaruh. Beliau dilantik ke Majlis Privi dan akhirnya menjadi Presidennya pada 1998, menyandang jawatan itu sehingga kematiannya pada tahun 2019.

Kehadirannya menyelubungi peristiwa-peristiwa penting sepanjang pemerintahan akhir Bhumipol, dengan sentiasa kelihatan (dan ada kalanya secara literal) hanya di luar pusat, seperti mana campur tangan diraja pada tahun 1992.

Raja Bhumibol (Rama IX) Thailand duduk di kerusi sambil sekumpulan ahli politik di hadapannya mengadapnya sambil duduk di atas lantai, 20 Mei, 1992. Biro Istana/Ceritalah

Malah beliau dilihat sebagai penggerak utama penyingkiran Thaksin Shinawatra pada tahun 2006. Ironinya, apabila adik perempuan Thaksin, Yingluck meraih kuasa pada tahun 2011, beliau akhirnya melakukan kunjungan hormat pada tokoh berusia yang berkuasa itu - seperti mana puluhan ahli-ahli politik atau pegawai-pegawai tentera bercita-cita tinggi yang lain.

Bagaimanapun, daripada "menyelamatkan" Thailand, rampasan kuasa pada tahun 2006 dan 2014 telah menyingkirkan keluarga Shinawatra itu dan menjerumuskan negara itu pada polarisasi sengit yang terus wujud sehingga hari ini.

Seperti mana Dr Punchada Sirivunnabood, seorang penganalisis politik dengan Universiti Mahidol mencatatkan: "Legasi Prem adalah bercampur. Bagaimana orang Thai melihatnya juga berbagai mengikut pada siapa anda tanyakan. Generasi lebih lama akan mengingati beliau sebagai kuasa penstabil dalam satu era yang tidak menentu, sementara orang Thai lebih muda melihat beliau -- secara adil atau tidak -- sebagai mewakili tekanan elit terhadap demokrasi."

Prem Tinsulanonda berjabat tangan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Malaysia itu di kediaman rasmi beliau, 25 Okt, 2018. --fotoBERNAMA

Prem (seperti Daim dengan Dr Mahathir) memperoleh banyak daripada keabsahan beliau dari Bhumipol. Apa yang membolehkan beliau mengatasi cabaran politiknya supaya dapat memfokus pada cabaran pembinaan negara dan juga pengukuhannya beserta mempromosikan dinasti Chakri.

Tetapi sementara prestij Bhumipol hanya bertambah, adalah dihujahkan bahawa Prem -- dan pihak berkuasa Thai -- gagal menyesuaikan diri pada realiti sosial baharu. Tentunya penegasan Prem terhadap negara berakar pada prinsip-prinsip tradisi "negara, agama dan raja" tidak lagi dipegang oleh orang Thai muda yang sedang mencari jalan baharu untuk mentakrif negara dan identiti mereka.

Lebih merosakkan lagi, keutamaan Prem terhadap teknokrat yang seharusnya tidak berkepentingan melebihi ahli-ahli politik yang dipilih telah melemahkan demokrasi Thai.

Prem Tinsulanonda pada 1959. Sekretariat Parlimen Thailand/Ceritalah

Beliau adalah seorang royalis yang kuat dan pada masa sama, juga seorang pembina: yang membantu mengemudi istana dan negara Thai melalui keributan politik Perang Dingin.

Dengan seorang raja baharu dari singgahsana Chakri - Raja Vajiralongkorn - menarik untuk kita perhatikan siapa (jika ada) akan muncul untuk memberikan nasihat bijak dan kuasa berterusan terhadap seorang ketua negara yang tidak teruji ini, terutamanya dengan keadaan kemelesetan ekonomi besar yang dijangkakan tahun hadapan atau selepasnya.

Thailand hari ini tidak syak lagi adalah ciptaan Raja Bhumipol dan Prem. Tetapi sama ada ia akan berterusan begitu hanya dapat disaksikan di kemudian hari.


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.