SAO PAULO: Mahkamah Agung Brazil mengarahkan penggantungan segera platform media sosial X di negara itu selepas ia gagal menamakan wakil undang-undang di Brazil.

Ia diputuskan Hakim Mahkamah Agung Alexandre De Moraes, di mana platform X diarah digantung sepenuhnya sehingga semua arahan mahkamah dipatuhi.

Ini termasuk pembayaran denda sebanyak 18.5 juta reais (AS$3.28 juta) dan penamaan wakil sah di Brazil.

Anatel, pengawal selia telekomunikasi Brazil, diperintahkan untuk melaksanakan penggantungan berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Untuk mengelakkan penggunaan VPN sebagai jalan keluar, Moraes turut mengarahkan denda harian sehingga 50,000 reais kepada individu atau syarikat yang cuba mengakses X melalui kaedah tersebut.

Elon Musk sebelum ini menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk penapisan dan bertindak menutup pejabat X di Brazil.