PERANCIS: Sekurang-kurangnya 12 migran maut pada Selasa selepas bot dinaiki mereka terbalik dalam perjalanan melintasi selat menuju ke Britain.

Mengesahkan kejadian tersebut, Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan untuk mengesan dua orang yang dikhuatiri masih hilang.

Dalam kenyataan di laman sosial X, Darmanin memaklumkan akan ke lokasi kejadian pada petang waktu tempatan.

Menangani isu pendatang haram menjadi keutamaan bagi kerajaan British dan Perancis.

Menurut angka dikeluarkan kerajaan United Kingdom (UK), lebih 2,000 orang telah tiba di Britain menggunakan bot kecil dalam tempoh tujuh hari lalu.

Minggu lalu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berikrar untuk bekerja lebih rapat bagi membongkar laluan penyeludupan migran.

Selat menjadi salah satu laluan perkapalan yang paling sibuk di dunia dengan arus kuat, menjadikan ia berbahaya untuk dilintasi dengan menggunakan bot kecil.

Pada Ogos lalu, dua individu ditemukan mati selepas sebuah bot yang membawa migran menghadapi masalah ketika cuba menyeberangi selat.