Sekurang-kurangnya 100 etnik Rohingya dikhuatiri maut, selepas bot yang membawa mereka karam di barat Myanmar.

Hanya 40 orang terselamat dengan lapan mayat sudah ditemui.

Penyelaras Kanan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian di Myanmar, Yasuko Shimizu berkata kapal mereka karam di kawasan Pauktaw.

Insiden berlalu ketika usaha perpindahan besar-besaran dilakukan disebabkan ancaman ribut Mahasen.

PBB berkata mereka membuka beberapa khemah sementara untuk menempatkan berpuluh ribu etnik Rohingya.

Televisyen Myanmar sebelum ini melaporkan lebih 5000 orang yang tinggal di kawasan rendah ditempatkan semula di kawasan selamat di Rakhine sebagai persedian menghadapi ribut Mahasen.

Sebelum ini, pakar cuaca melaporkan ribut kini menuju ke Teluk Bengal dan akan melanda Chittagong sebelum ke Myanmar.

Kawasan delta di Selatan Myanmar teruk terjejas pada tahun 2008 kerana taufan Nargis membunuh lebih 130,000 orang selain menghayutkan hampir semua perkampungan petani di situ.