ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 5 Februari 2025.

1. “Amerika akan ambil alih Semenanjung Gaza dan urus dengan baik,” kata Donald Trump

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan satu visi untuk “pemilikan jangka panjang” serta pembangunan semula Gaza, satu kenyataan yang luar biasa daripada seorang Presiden AS dalam konflik berabad lamanya.

2. Trump kembali kenakan 'tekanan maksimum' ke atas Iran

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa menandatangani dua perintah eksekutif iaitu mengembalikan kempen "tekanan maksimum" ke atas Iran dan mengesahkan AS menarik diri daripada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

3. 67 mayat mangsa nahas helikopter-pesawat di Washington D.C. ditemukan

Pasukan penyelamat berjaya menemukan kesemua 67 mayat mangsa yang terkorban dalam insiden membabitkan sebuah helikopter dan pesawat penumpang di Washington D.C. minggu lalu.

4. Serangan bom: Rakyat Malaysia diminta berwaspada ketika bercuti ke Thailand

Rakyat Malaysia yang merancang untuk bercuti ke Thailand dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan negara itu susulan insiden serangan bom di Narathiwat baru-baru ini, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

5. Penduduk utara Sydney diminta didih air sebelum digunakan selepas bakteria E. coli dikesan

Penduduk di wilayah Central Coast, Australia dinasihatkan untuk mendidihkan air paip sebelum digunakan selepas ujian mengesan kehadiran bakteria Escherichia coli (E. coli) dalam bekalan air tempatan.

6. 11 maut dalam insiden tembakan di sekolah di Sweden

Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di bandar Orebro, Sweden pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman dpa yang memetik kenyataan pihak polis.

7. Lawatan Presiden Syria tanda bermula 'era persahabatan, kerjasama berkekalan' - Erdogan

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Selasa menyifatkan lawatan Presiden Syria Ahmad al-Sharaa ke Ankara sebagai langkah bersejarah ke arah permulaan era persahabatan dan kerjasama berkekalan antara kedua-dua negara.

8. Lapan maut, 11 cedera dalam kemalangan di plaza tol Jawa Barat

Sekurang-kurangnya lapan maut manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan pelbagai kenderaan di Plaza Tol Ciawi di Jawa Barat pada Selasa, menurut polis tempatan.

9. Zelensky sedia berunding dengan Putin

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, tetapi di bawah syarat tertentu.

10. AS deportasi 104 warga India dalam operasi ketat imigrasi Trump

Kumpulan pertama warga India yang dideportasi dari Amerika Syarikat (AS) tiba di negeri Punjab sebagai sebahagian daripada operasi ketat imigrasi pentadbiran Donald Trump terhadap pendatang haram.