Kohler, yang dipilih sebagai Presiden pada 23 Mei 2004 dan disahkan untuk penggal kedua lima tahun kemudian, meletakkan jawatan secara mengejut pada 31 Mei 2010.
Presiden Frank-Walter Steinmeier dalam perutusannya kepada balu Kohler, Eva Luise Kohler, menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang membawa tuah kepada negara.
"Kami amat berterima kasih kerana dapat menyaksikan Horst Kohler sebagai Presiden Kesembilan Republik Persekutuan Jerman. Beliau banyak menyumbang kepada negara ini," katanya.
Kohler merupakan presiden pertama yang memegang jawatan itu tanpa sebarang kaitan politik. Beliau memulakan kerjayanya sebagai penjawat awam di Kementerian Ekonomi pada 1976 selepas menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Negara di Kementerian Kewangan pada 1990.
Beliau merupakan ketua perunding Jerman dalam rundingan yang membawa kepada Perjanjian Maastricht 1992, yang kemudiannya membawa kepada pembentukan mata wang euro.
Pada 1993, Kohler berhijrah ke sektor swasta, berkhidmat sebagai presiden persatuan bank simpanan dan perbankan utama Jerman sebelum dilantik sebagai Presiden Bank Eropah bagi Pembinaan Semula dan Pembangunan di London. Pada 2000, beliau menjadi Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Dipilih sebagai pengganti Johannes Rau bagi jawatan presiden, yang berperanan lebih kepada tugas-tugas istiadat, beliau sekali lagi dipilih pada 2009. Namun, peletakan jawatannya setahun kemudian mengejutkan negara dan menjadi satu-satunya kes seumpamanya dalam sejarah Jerman moden.
Keputusan itu dibuat selepas kenyataannya dalam satu wawancara radio mengenai penglibatan Jerman dalam konflik di Afghanistan, yang mengaitkan penyertaan ketenteraan negara itu dengan kepentingan ekonomi.
Beliau dikritik kerana didakwa membenarkan penyertaan tentera Jerman atas alasan ekonomi - sesuatu yang dinafikannya. Bagaimanapun, beliau menganggap kedudukannya tidak dapat dipertahankan dan mengambil keputusan untuk berundur.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Kohler pernah membuat keputusan yang mencetuskan kontroversi, termasuk menolak untuk menandatangani rang undang-undang sebagaimana dikehendaki oleh perlembagaan. Peranannya dalam membubarkan parlimen pada 2005 atas permintaan Canselor ketika itu, Gerhard Schroder, juga menjadi pertikaian.
Kohler merupakan penyokong kuat pembangunan di Afrika dan pernah dilantik sebagai utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Sahara Barat dari 2017 hingga 2019. Selepas meletak jawatan, beliau menjauhkan diri daripada politik domestik tetapi masih berkhidmat sebagai ketua majlis perubahan iklim.
-- BERNAMA