LONDON: Bekas personaliti BBC, Huw Edwards mengaku bersalah pada Rabu terhadap tiga pertuduhan melibatkan skandal seksual.

Edwards, 62, merupakan wartawan dan penyampai berita BBC yang memperoleh bayaran tertinggi sehingga dia meletakkan jawatan pada April lepas, selepas didakwa membayar seorang anak muda beribu-ribu pound untuk gambar seksual yang eksplisit.

Edwards sangat dikenali di Britain selama lebih dua dekad dan merupakan personaliti agensi berita itu yang mengumumkan kemangkatan Ratu Elizabeth II kepada negara pada tahun 2022.

Selain itu Edwards pernah mengetuai liputan beberapa acara terbesar negara itu termasuk pilihan raya, perkahwinan diraja dan Sukan Olimpik 2012.

Namun kelibat Edwards tidak kelihatan di kaca TV selama setahun sehingga penampilannya di mahkamah pada Rabu.

BBC memaklumkan dalam satu kenyataan, agensi berita itu "terkejut" dengan perbuatan Edwards.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret Westminister pada Rabu, Edwards mengaku telah menghantar beberapa gambar eksplisit melibatkan kanak-kanak antara bulan Disember 2020 sehingga Ogos 2021.

Hakim Paul Goldspring memaklumkan, Edwards akan dijatuhkan hukuman pada September 16 dan "semua pilihan hukuman" akan dipertimbangkan termasuk hukuman penjara serta-merta.

Dalam perbicaraan selama 25 minit itu, pendakwa raya Ian Hope berkata Edwards telah menghantar sebanyak 377 gambar seksual yang eksplisit yang diambil seorang lelaki dewasa di WhatsApp, di mana 41 melibatkan kanak-kanak.

Sejumlah tujuh dari 41 itu melibatkan video pornografi kanak-kanak antara 7 dan 9 tahun.