Dua bayi kembar mati lemas selepas kereta sorong mereka menggelongsor ke dalam sebatang terusan di Arizona, Amerika Syarikat ketika ibu mereka cuba menghalau seekor lebah, lapor CNN.

Ibu berkenaan, Alexis Keslar ketika itu membawa anak kembarnya yang berumur setahun setengah bersiar-siar di tebing terusan di Yuma. Dia kemudian melepaskan kereta sorong yang membawa anaknya itu setelah pasangan kembar itu tiba-tiba didekati oleh seekor lebah.

"Kereta sorong tersebut kemudian menggelongsor ke dalam terusan bersama dua budak lelaki itu yang masih terikat dengan tali pinggang keselamatan" kata polis seperti dipetik oleh laman web stesen berita itu.

Menurut pihak berkuasa, ibu berkenaan terjun ke dalam air untuk cuba menyelamatkan anak-anaknya tetapi arus yang deras menghanyutkan kereta sorong itu.

Pasangan kembar itu ditemui lebih kurang satu jam selepas usaha mencari digerakkan.

Dalam pada itu, GoFundMe melaporkan keluarga malang itu menerima sumbangan hampir RM90,000 daripada orang ramai yang disalurkan melalui satu laman web khas mengenang pasangan kembar itu.

Sementara itu, portal akhbar Yuma Sun yang memetik kenyataan polis melaporkan siasatan kes itu sudah ditutup dan tiada sebarang kes akan dikemukakan ke mahkamah. Polis menyifatkan kejadian sebagai satu "kemalangan tragik."