SHAH ALAM: Jurucakap Briged Saraya Al-Quds, sayap bersenjata Jihad Islam Palestin (PIJ), Naji Abu Sais atau lebih dikenali sebagai Abu Hamza dilaporkan syahid bersama isterinya dalam serangan udara Zionis Israel di Nuseirat, Gaza pada Isnin lalu.

Lebih memilukan, Abu Hamza, 25, yang dikenali dengan keberanian serta suara lantang memperjuangkan Palestin itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama isterinya, Syaima seminggu sebelum tragedi tersebut.

Serangan udara yang menyasarkan kediamannya itu turut mengorbankan beberapa ahli keluarga termasuk keluarga abangnya.

Pemergian pasangan suami isteri tersebut mengundang kesedihan rakyat Gaza yang menganggap pengorbanan mereka sebagai lambang cinta sejati dalam memperjuangkan agama dan tanah air.

Sepanjang perjuangan, Abu Hamza sentiasa mengenakan topeng demi menjaga keselamatan diri dan keluarganya malah jurugambar yang merakamkan majlis perkahwinannya juga tidak mengetahui identiti sebenar beliau.

Jurucakap Briged Saraya Al-Quds, sayap bersenjata Jihad Islam Palestin (PIJ), Naji Abu Sais atau lebih dikenali sebagai Abu Hamza dilaporkan syahid bersama isterinya. - Foto Agensi

Abu Hamza bukan sahaja berperanan sebagai jurucakap Saraya Al-Quds malah turut turun ke medan pertempuran mempertahankan bumi Palestin dari terus dijajah rejim Zionis.

Bagi umat Islam, perjuangan Abu Hamza dan isterinya tidak sia-sia kerana syahid di jalan Allah adalah kemuliaan yang dijanjikan syurga.

Kini, Abu Hamza dan isterinya disatukan semula di taman syurga sebagai ganjaran atas cinta dan perjuangan suci mereka mempertahankan Palestin. -- Sinar Harian