NEW DELHI: Kerajaan sementara Bangladesh telah menarik balik pengharaman ke atas Jamaat-e-Islami Bangladesh yang dikenakan oleh kerajaan pimpinan Sheikh Hasina sebelum ini.

Kerajaan yang diketuai oleh ahli ekonomi dan penerima Nobel Keamanan, Muhammad Yunus, telah membatalkan perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh rejim terdahulu terhadap parti itu dan organisasi pelajarnya, Islami Chhatrashibir, menurut satu pemberitahuan pada Rabu.

Hasina, yang melarikan diri ke India pada 5 Ogos selepas satu kebangkitan, telah mengharamkan Jamaat-e-Islami dengan alasan "aktiviti merosakkan dan pengganas" di tengah-tengah protes yang diketuai oleh pelajar yang menamatkan pemerintahannya yang panjang.

Jamaat-e-Islami tidak dibenarkan menyertai pilihan raya sejak 2013 dan tindakan Hasina pada bulan Ogos terhadap parti itu dikritik sebagai bermotifkan politik.

Sementara itu, penasihat hal ehwal dalam negeri kerajaan sementara, Jahangir Alam Chowdhury berjanji bahawa kementeriannya akan memberi kerjasama kepada pasukan pencari fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyiasat pembunuhan dan pencabulan hak asasi manusia semasa protes.

Lebih daripada 600 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera dalam tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.

-- BERNAMA