Bangkai pesawat Trigana Air ditemui dalam keadaan hancur akibat terhempas di kawasan Gunung Tangok, daerah Okbape, wilayah Pegunungan Bintang di Papua, tengah hari tadi.

Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) turut menemui kesemua 54 penumpang termasuk lima kru pesawat komersial itu yang dilaporkan maut dalam nahas berkenaan.

Media-media tempatan memetik Timbalan Bidang Operasi SAR Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Heronimus Guru sebagai berkata pasukannya sedang berusaha membawa keluar semua jenazah terbabit dari hutan bukit di kawasan pendalaman itu.

Pesawat itu ditemui dalam keadaan hancur dipercayai akibat merempuh Gunung Tangok itu.

Katanya kotak hitam pesawat itu telah ditemui di kawasan kejadian dan ia akan diserahkan segera kepada Komisi Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT).

Pesawat jenis ATR42 itu yang berlepas dari Bandara Sentani di Jayapura itu sepatutnya mendarat di lapangan terbang Oksibil, Wilayah Pegunungan Bintang pada pukul 3 petang Ahad lepas tetapi disahkan hilang apabila tidak mendarat dan gagal dihubungi.


Trigana Air
Foto yang dirakam oleh Basarnas pada Isnin (17/8/2015) memperlihatkan jejak kemalangan pesawat Trigana Air ATR 42-300 di kawasan Oksibil, Papua, sehari setelah dilaporkan hilang sebaik sahaja berlepas dari landasan dari Jayapura - Foto AFP/Basarnas

Sementara itu, Ketua Basarnas FHD Soelistyo pula dipetik sebagai berkata, kesemua jenazah yang ditemui tidak utuh tetapi masih boleh dikenal pasti.

"Kesimpulannya, penumpang dan kru sudah ditemukan dan sekarang tinggal proses evakuasi dari lokasi kejadian ke Oksibil atau Jayapura, tergantung pada penerbangan," katanya.

Katanya, Basarnas juga sedang berusaha mencari wang tunai Rp 6.5 miliar (hampir RM2 juta) yang dibawa oleh empat pegawai syarikat Pos Indonesia dalam pesawat berkenaan.

"Wang itu adalah dana Program Simpanan Keluarga Sejahtera (PSKS) untuk warga di Papua dan sampai saat ini wang milik Kementerian Sosial itu masih belum ditemui," kata beliau.

Bagaimanapun, Menteri Sosial, Khofifah Indar Parawansa berkata dana PSKS yang dibawa oleh petugas Pos Indonesia itu telah diinsuranskan.

Katanya, wang itu dibawa petugas PT Pos Indonesia dalam pesawat berkenaan untuk diagihkan kepada warga wilayah Pegunungan Bintang, Papua.


TRIGANA AIR
Foto yang dirakam oleh Basarnas pada Isnin (17/8/2015) memperlihatkan jejak kemalangan pesawat Trigana Air ATR 42-300 di kawasan Oksibil, Papua, sehari setelah dilaporkan hilang sebaik sahaja berlepas dari landasan dari Jayapura - Foto AFP/Basarnas


Beliau berkata peruntukan PSKS itu telah dikirimkan sejak 1 April 2015 dan mekanisme agihannya ditentukan syarikat Pos berkenaan yang dilantik sebagai penyalur dana.

"Ada yang dimasukkan menerusi perkhidmatan pos, ada yang disalurkan langsung, ada juga yang dibawa tunai. Kebetulan untuk wilayah Pegunungan Bintang wang itu dibawa tunai," kata beliau.

Beliau berkata, agihan peruntukan itu mengambil masa yang agak lama bagi kawasan-kawasan terpencil, pedalaman dan terluar dari hubungan darat.

Pesawat itu membawa 49 penumpang dan kesemuanya adalah rakyat tempatan iaitu 44 dewasa termasuk empat petugas Pos Indonesia, dua kanak-kanak dan tiga bayi.

Lima anak kapal terbabit ialah juruterbang yang dikenali sebagai Hasanudin, pembantunya Ariadin, juruteknik Mario, dan dua pramugari yang dikenali sebagai Ika dan Dita.