ISLAMABAD: Bangkai helikopter milik tentera Pakistan yang hilang telah dijumpai di wilayah Balochistan barat daya negara itu, lapor Xinhua pada Selasa.

Kesemua enam penumpang termasuk seorang komander tentera disahkan terbunuh dalam nahas itu, menurut kenyataan unit media tentera.

Bangkai pesawat itu ditemukan di kawasan Windar daerah Lasbela.

Helikopter itu menyertai operasi bantuan banjir di Balochistan pada petang Isnin sebelum nahas berlaku akibat cuaca buruk.

Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif melahirkan rasa dukacita atas tragedi itu, dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Hujan lebat dan banjir baru-baru ini telah melanda wilayah Balochistan, mengorbankan lebih 130 nyawa sejak 14 Jun, manakala 13,535 kediaman terjejas dan lebih 13,000 ternakan mati, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara.

-- BERNAMA