DENPASAR (Bali): Pemerintah provinsi Bali akan mengeluarkan buku panduan sebagai persediaan untuk menyambut ketibaan pelancong asing.

"Memandangkan pemerintah akan membuka semula pelancongan di Bali pada 14 Okt (2021), kami akan menghasilkan buku panduan perjalanan untuk kegunaan pelancong asing," lapor Agensi Berita Antara memetik ketua pelancongan Provinsi Bali, Putu Astawa di sini pada Selasa.

Beliau berkata pelancong asing mesti menjalani kuarantin kendiri selama lima hari di satu daripada 35 hotel yang ditetapkan kerajaan sebaik tiba di pusat peranginan itu.

Buku panduan akan diberikan kepada pelancong ketika mereka menjalani kuarantin kendiri, kata Astawa.

Menurut Antara, buku panduan ini antara lain mengandungi mengenai peraturan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai dan protokol kesihatan yang perlu dipatuhi.

"Selain itu, pelancong perlu mempunyai insurans kesihatan, visa dan sijil vaksinasi COVID-19 yang lengkap.Jika memenuhi syarat, mereka dibenarkan masuk ke Bali," katanya.

Kerajaan hanya membenarkan pelancong dari negara tahap satu dan dua dengan kadar kes positif di bawah lima peratus.

Pelancong perlu mengemukakan keputusan negatif ujian RT-PCR yang diambil maksimum 72 jam sebelum berlepas berserta bukti penginapan, katanya.

Selain itu, pelancong perlu menjalani dua lagi ujian RT-PCR - sebaik tiba di lapangan terbang dan pada hari keempat kuarantin, katanya.

Astawa berkata ketibaan pelancong akan meningkat pada November atau Disember.

-- BERNAMA