BAKU: Azerbaijan mengisytiharkan perkabungan negara pada Khamis untuk memperingati mangsa tragedi nahas pesawat Embraer 190 yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Baku ke Grozny, lapor Xinhua.

Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev menandatangani perintah rasmi bagi pelaksanaan hari berkabung itu susulan insiden yang berlaku pada Rabu.

Aliyev yang berada di ruang udara Rusia dalam perjalanan ke St. Petersburg untuk menghadiri sidang kemuncak ketika kejadian, mengarahkan penerbangannya berpatah balik sebaik menerima berita mengenai nahas berkenaan.

Pesawat dengan nombor penerbangan J2-8243 itu dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Aktau di Kazakhstan.

Menurut Kementerian Situasi Kecemasan Kazakhstan, 28 mangsa terselamat, sementara operasi menyelamat masih diteruskan.

Pesawat itu membawa 67 individu, termasuk 62 penumpang dan lima anak kapal, menurut Azerbaijan Airlines dalam kenyataan di platform X.

Media Kazakhstan melaporkan penumpang terdiri daripada 37 warga Azerbaijan, 16 warga Rusia, enam warga Kazakhstan dan tiga warga Kyrgyzstan.

-- BERNAMA