Mesyuarat itu diadakan di ibu negara Laos, Vientiane pada Selasa dan dipengerusikan oleh Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos, Malaythong Kommasith, menurut akhbar tempatan Pasaxon pada Rabu.
Mesyuarat itu membincangkan kemajuan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan menegaskan komitmen kukuh ASEAN terhadap integrasi ekonomi serantau di tengah-tengah cabaran yang semakin meningkat akibat pemecahan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan perubahan iklim.
Mesyuarat itu juga menekankan tumpuan strategik ASEAN dalam mempromosikan sektor transformasi seperti ekonomi digital dan hijau untuk memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan.
Bercakap pada mesyuarat itu, Malaythong berkata: "Situasi ekonomi dan kewangan serantau serta antarabangsa terus menghadapi ketidakstabilan akibat penularan COVID-19, perubahan iklim, dan konflik politik di rantau ini serta di peringkat antarabangsa. Ini memerlukan kita untuk memperkukuh perpaduan dan bekerjasama rapat bagi mencari langkah yang sesuai untuk mengatasi cabaran berkenaan."
Pertumbuhan ekonomi rantau ini direkodkan pada kadar 4.1 peratus pada 2023 dan dijangka meningkat kepada 4.6 peratus pada 2024, manakala pelaburan di ASEAN meningkat sebanyak 0.3 peratus daripada US$229 bilion pada 2022 kepada US$230 bilion pada 2023, kata Malaythong.
Nilai perdagangan produk ASEAN menurun sebanyak 1.2 peratus daripada US$3,846 bilion pada 2022 kepada US$3,525 bilion pada 2023, tetapi dijangka meningkat kepada US$3,617 bilion pada 2024, katanya.
Mesyuarat itu turut membincangkan secara mendalam pelaksanaan pelan kerja keutamaan kritikal bagi 2024, kemajuan pembinaan Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang 2025, dan visi komuniti itu sehingga 2045. - BERNAMA