Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam konteks ini, ASEAN harus berpegang pada prinsip perpaduan dan mengambil pendirian tegas.
Malah jelasnya, ASEAN perlu terus menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa blok serantau akan terus kekal bersatu.
‘’Komitmen ini menjadikan ASEAN sebagai pemacu utama dalam memastikan keamanan, keselamatan, dan kerjasama di rantau ini.
‘’Dalam suasana ketegangan global yang semakin meningkat di mana polarisasi mengatasi integrasi, terdapat kebimbangan mengenai keretakan dan perpecahan dalam ASEAN.
‘’Situasi ini berisiko dieksploitasi sekali gus boleh merugikan ASEAN,’’ katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara dalam Sesi Plenari Ketua Negara ASEAN secara tertutup, selepas upacara perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 dan Sidang-Sidang Berkaitan, di sini, pada Rabu.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, keamanan dan kestabilan serantau adalah kunci bagi memastikan pertumbuhan dan kemakmuran berterusan di rantau Asia Tenggara.
Justeru, beliau menekankan bahawa ASEAN perlu terus memupuk dan mengukuhkan hubungan dengan rakan dialog dan rakan luar.
“Kita tidak boleh memandang remeh terhadap kepentingan dialog dan kerjasama sebagai satu asas kepada persahabatan dan hubungan yang baik.
‘’Oleh itu, kita menggalakkan rakan dialog untuk menguruskan perbezaan mereka demi mencapai hasil yang positif,’’ tambahnya lagi.
Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia akan terus komited untuk membina masa depan yang lebih inklusif dan mampan bagi rantau Asia Tenggara menjelang kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan.
Anwar juga berkata Malaysia menyatakan komitmen dalam memastikan Konsep Komuniti ASEAN 2025-2045 yang akan diperkenalkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 boleh diterima pakai semua negara anggota.
‘’Dokumen-dokumen ini akan merangka laluan strategik bagi rantau ASEAN pada tahun-tahun mendatang dan mencerminkan harapan komuniti ASEAN untuk sebuah rantau yang aman, stabil, dan makmur yang akan memberi sumbangan positif kepada pembangunan global,’’ ujarnya.
Anwar juga berkata Malaysia menyatakan komitmen dalam memastikan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang akan diperkenalkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 boleh diterima pakai semua negara anggota.
‘’Dokumen-dokumen ini akan merangka laluan strategik bagi rantau ASEAN pada tahun-tahun mendatang dan mencerminkan harapan komuniti ASEAN untuk sebuah rantau yang aman, stabil, dan makmur yang akan memberi sumbangan positif kepada pembangunan global,’’ ujarnya.