JAKARTA: ASEAN dan China memulakan pusingan pertama rundingan mengenai penambahbaikan dalam perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA).

Penambahbaikan ACFTA akan menumpukan kepada sektor yang memberi manfaat kepada kepentingan kedua-dua pihak, termasuk ekonomi digital, ekonomi hijau, langkah bukan tarif, isu perlindungan pengguna dan MSME (perusahaan kecil dan sederhana) serta penyusunan semula struktur bab ACFTA.

Agensi berita Vietnam (VNA) melaporkan bahawa semasa mesyuarat pada Selasa, negara anggota ASEAN dan China turut bertukar-tukar pandangan dan input tentang elemen yang mungkin dimuatkan dalam bab STRACAP (Struktur AFCTA Dinaik Taraf).

Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka lebih lanjut proses penyelesaian pertikaian dalam pusingan rundingan seterusnya.

Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka isu teknikal dalam Perkara 6.5 Piawaian, Panduan dan Pengesyoran Antarabangsa dalam bab ACFTA STRACAP.

ASEAN dan China berharap rundingan berkaitan STRACAP akan diteruskan pada masa hadapan dan bersedia untuk menyelaras secara intensif dalam mencapai persetujuan yang menguntungkan kedua-dua pihak, menurut laporan itu.

Ia berkata pusingan kedua rundingan dirancang diadakan pada suku kedua 2023 di China secara hibrid.

-- BERNAMA