Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata ASEAN amat bimbang dengan ketegangan yang semakin meningkat di Semenanjung Korea termasuk tindakan Korea Utara melakukan dua ujian nuklear tahun lepas dan melancarkan peluru berpandu balistik selepas itu.

"ASEAN bimbang berhubung isu Korea Utara. Ia seolah-olah dua negara (Korea Utara dan Amerika Syarikat) sedang bermain dengan alat mainan masing-masing. Kita perlu memberi peringatan kepada semua pihak supaya menunjukkan pengekangan dan sabar," katanya ketika mengulas ujian peluru berpandu terkini oleh Korea Utara.

''Keadaan ini meletakkan bumi di ambang kehancuran. Jika ada salah perhitungan, peluru berpandu tersebut sama ada nuklear atau bom biasa boleh menyebabkan malapetaka.

"Sekiranya terjadi, mangsa pertama adalah rantau Asia dan ASEAN kerana dua negara ini bermain dengan ''alat mainan'' berbahaya.

"Justeru, Amerika Syarikat, yang memainkan peranan penting dalam isu ini, supaya lebih berhati-hati dan sabar," katanya pada sidang media di akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 di sini. hari ini.

Duterte juga berkata beliau menjangkakan panggilan telefon daripada Presiden Donald Trump malam ini.

"Amerika Syarikat perlu berwaspada dan sabar apabila berurusan dengan Korea Utara di mana pemimpin negara itu begitu seronok melepaskan peluru berpandunya," katanya.

Semalam, kesemua 10 negara anggota ASEAN turut menyatakan pandangan sama.

Anggota pertubuhan serantau itu menggesa Korea Utara dan semua pihak berkenaan supaya mengawal perasaan untuk meredakan ketegangan serta mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

-- BERNAMA