Arab Saudi pada Rabu mengumumkan menggantung semua penghantaran minyak mentah melalui Selat Bab el-Mandeb di Laut Merah, lapor agensi berita Xinhua, memetik berita Al Arabiya.

Keputusan itu berikutan serangan pemberontak Houthi ke atas dua kapal tangki minyak Saudi yang melalui selat tersebut pada Rabu, kata Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid Al-Falih.

Serangan itu menyebabkan satu daripada kapal tangki berkenaan mengalami kerosakan.

Beliau berkata, larangan akan diteruskan sehingga keselamatan di selat tersebut benar-benar terjamin.

Gabungan diketuai oleh Arab Saudi mula campur tangan dalam konflik Yaman pada Mac 2015, untuk mengusir puak Houthi dan mengembalikan semula kerajaan Presiden Abdu-Rabbu Mansour Hadi yang digulingkan.

-- BERNAMA