KEMAS kini sistem operasi di Apple akan membawakan ciri baharu seperti Apple Intelligence yang membawakan ciri kecerdasan buatan (AI).

Tetapi bagi pengguna produk Apple di negara-negara Kesatuan Eropah (EU), beberapa ciri baharu ini tidak akan dapat digunakan seperti pengguna negara pasaran lain.

Menurut laporan Bloomberg, Apple Intelligence, iPhone Mirroring, dan SharePlay Screen Sharing tidak akan diaktifkan di EU tahun ini kerana isu dengan Akta Pasaran Digital (DMA).

Menerusi DMA, sebarang ciri baharu yang tidak memberikan akses kepada pihak ketiga tidak boleh ditawarkan kepada pengguna.

Ini bagi memastikan amalan antimonopoli tidak dilakukan oleh syarikat yang dilabel sebagai “gatekeeper”.

Apple mengeluarkan kenyataan yang mengatakan memberikan akses kepada pihak ketiga pada ciri-ciri ini boleh menjejaskan integriti produk yang ditawarkan, membahayakan privasi pengguna dan juga keselamatan data.

Sejak DMA diperkenalkan Apple telah dipaksa untuk membenarkan aplikasi dimuat turun pada peranti mereka menerusi stor pihak ketiga dan akses kepada sistem NFC mereka dibuka.

Apple mengalah tetapi kebenaran ini hanya terhad untuk pasaran EU sahaja.

Tetapi muncul laporan Apple akan disiasat dan dikenakan denda kerana usaha mereka untuk mematuhi DMA masih lagi tidak memuaskan menurut pandangan EU. -Amanz