Kajian itu dijalankan pada Julai sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan Jepun untuk merangka kaedah membantu generasi muda berkahwin dan mempunyai anak, memandangkan peningkatan individu tidak berkahwin telah menjadi punca utama penurunan kadar kelahiran di negara ini, lapor Agensi Berita Kyodo.
Agensi Kanak-kanak dan Keluarga berkata ia merancang untuk meningkatkan kerjasama dengan sektor swasta dalam mempromosikan aplikasi janji temu yang mematuhi garis panduan keselamatan serta memaklumkan penggunaan yang betul.
Menerusi soal selidik dalam talian melibatkan 20,000 lelaki dan wanita berusia 15 hingga 39 tahun di seluruh negara, 25.1 peratus responden yang berkahwin dalam tempoh lima tahun lepas berkata aplikasi janji temu memberi mereka peluang untuk bertemu dengan pasangan masing-masing.
Individu yang bertemu pasangan melalui kerja atau aktiviti berkaitan kerja menyumbang 20.5 peratus, manakala 9.9 peratus bertemu di sekolah, 9.1 peratus melalui rakan atau adik-beradik, dan 5.2 peratus di parti atau acara sosial lain.
Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa 56.8 peratus orang yang sudah berkahwin mempunyai pengalaman menggunakan aplikasi janji temu, berbanding 26.8 peratus individu yang belum berkahwin.
Laporan interim yang dikumpulkan oleh panel di bawah Agensi Kanak-kanak dan Keluarga untuk membincangkan perancangan hidup generasi muda mencatat bahawa aplikasi janji temu amat popular dalam kalangan individu berusia 20-an.
Laporan itu menekankan bahawa "Generasi Z", yang lahir pada akhir 1990-an dan awal 2000-an, menghargai aplikasi janji temu sebagai alat untuk mengutamakan kecekapan kos dan masa.
Walaupun aplikasi janji temu menawarkan kemudahan untuk berhubung pada bila-bila masa dan merapatkan jurang bagi mereka di kawasan terpencil, ramai orang terus menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan, menurut laporan itu.
Menurut data kerajaan, bilangan pasangan yang berkahwin pada 2023 jatuh di bawah 500,000 buat kali pertama dalam 90 tahun kepada 474,717, tahap terendah sejak Perang Dunia Kedua.
-- BERNAMA