LIMA, PERU: Tumpuan dunia akan mula beralih ke Peru pada minggu ini tatkala Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) 2024 bermula dengan Presiden Dina Boluarte akan menyambut rakan-rakan sejawatnya di sini minggu ini.

Menerusi tema, Berdaya-Inklusif-Maju, pegawai kanan, menteri dan pemimpin dari 21 ekonomi anggota APEC - sebuah forum ekonomi yang menyumbang hampir dua pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan separuh daripada perdagangan global - akan menangani cabaran utama yang dihadapi oleh rantau Asia-Pasifik, seperti perubahan iklim, penyelesaian tenaga mampan, peralihan ekonomi digital dan fasilitasi perdagangan.

Pemimpin dan menteri akan membincangkan dasar-dasar yang boleh membantu ekonomi mengatasi cabaran semasa sambil mempromosikan inovasi dan keterangkuman.

Bidang tumpuan utama akan merangkumi:

i) Perdagangan dan pelaburan untuk pertumbuhan yang inklusif serta yang saling berkaitan: Mewujudkan keadaan yang wajar untuk menjadikan perdagangan lebih terbuka, saksama, telus dan inklusif yang memacu pertumbuhan dan kemakmuran.

ii) Inovasi dan pendigitalan untuk mempromosikan peralihan kepada ekonomi formal dan global: Memanfaatkan teknologi digital untuk memberdayakan pemain ekonomi yang terdedah dalam peralihan mereka daripada penyertaan tidak formal kepada formal dalam ekonomi global.

iii) Pertumbuhan mampan untuk pembangunan yang berdaya tahan: Meningkatkan usaha untuk memajukan peralihan tenaga yang adil dengan mempromosikan sumber tenaga boleh diperbaharui dan bersih serta mengukuhkan keselamatan makanan.

"Sebagai tuan rumah tahun ini, Peru mempunyai peluang yang sangat berharga untuk membawa dialog ke arah isu-isu yang berkait dengan rakyat di rantau ini, dengan memberi tumpuan kepada kelestarian, daya tahan dan keterangkuman digital," kata Duta Besar Carlos Vasquez selaku Pengerusi Pegawai Kanan APEC 2024.

"Menjadi tuan rumah APEC adalah lambang kepada komitmen Peru untuk memperkukuh perkongsian pelbagai hala dan mengukuhkan peranannya sebagai pemain utama dalam menetapkan agenda untuk Asia-Pasifik."

"Usaha kami untuk memacu perdagangan dan pelaburan, bersama-sama dengan agenda yang memfokuskan pertumbuhan dalam APEC, kini berada di landasan tepat.

"Anggota APEC memahami bahawa memupuk norma dan dasar ekonomi baharu boleh mendorong keterangkuman dan mewujudkan program yang berimpak untuk memenuhi keperluan harian komuniti kita,” kata Vasquez.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Dr Rebecca Sta Maria berkata, komitmen APEC terhadap kerjasama melalui fokus strategik kepada daya tahan dan pertumbuhan mampan telah menetapkan asas untuk hasil yang bermakna seiring usaha menangani keperluan tiga bilion penduduk di rantau Asia Pasifik.

"Ekonomi kita adalah rangkaian kompleks dengan banyak bahagian yang saling berkait, jadi kita tidak boleh hanya menumpukan pada satu bidang sambil mengabaikan yang lain.

"Kita perlu memastikan setiap bahagian berjalan lancar dan mempertimbangkan semua elemen supaya ia bergerak bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Di bawah kepimpinan Presiden Boluarte, minggu ini akan berakhir dengan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) pada 15 hingga 16 November, di mana hala tuju kerjasama masa depan antara ekonomi anggota APEC akan ditetapkan.

Ini akan didahului dengan Mesyuarat Menteri APEC (AMM) pada 14 November, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Negeri Peru, Elmer Schialer dan Menteri Perdagangan Luar dan Pelancongan Peru, Desilú León.

Pada 11 hingga 12 November pula, pegawai kanan APEC akan bertemu untuk memuktamadkan inisiatif yang bertujuan meningkatkan perdagangan dan pertumbuhan serta membentuk rangka kerja untuk pembangunan dasar bersama dan pelaksanaannya.

Prospek rantau ini akan dinilai dalam laporan Tinjauan Trend Serantau terbaharu Unit Sokongan Dasar (PSU) APEC yang dijadual diterbitkan pada 12 November.

Laporan ini akan menjadi asas bagi perbincangan dasar sepanjang minggu ini.

Malah, komuniti perniagaan juga terlibat seperti melalui Sidang Kemuncak CEO APEC 2024, yang dianjurkan oleh sektor swasta.

Ia menjadi dialog terbuka antara pemimpin serantau dan ketua perniagaan yang akan diadakan pada 14 hingga 15 November di sisi luar Minggu Pemimpin Ekonomi APEC.

Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) akan bertemu pada 10 hingga 12 November dan akan terlibat dalam dialog dengan pemimpin APEC pada 15 November.

Selain itu, Sidang Kemuncak Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC, yang dijadualkan pada 13 November bakal mencari peluang sekali gus menangani cabaran unik yang dihadapi sektor ini.

Sebagai tuan rumah APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016, Peru telah menjadi lokasi untuk lebih daripada 270 mesyuarat kerja sepanjang 2024 di Lima, Arequipa, Pucallpa, Trujillo dan Urubamba.

Setiap mesyuarat telah menghasilkan penyampaian atau dokumen penting yang menunjukkan konsensus antara 21 ekonomi anggota APEC dan ini akan menetapkan rangka kerja untuk agenda berterusan forum tersebut.