RAJA Charles III kini menjalin kerjasama dengan platform penstriman muzik, Apple Music untuk melancarkan rancangan The King's Music Room bagi berkongsi senarai lagu kegemaran baginda.

Dirakam di Istana Buckingham, The King’s Music Room menawarkan pandangan eksklusif tentang baginda dengan muzik dari seluruh Komanwel termasuk disko, reggae dan Afrobeats.

Menurut kenyataan Apple, Raja Charles III turut berkongsi anekdot tentang pertemuannya dengan beberapa artis dan mendedahkan senarai lagu pilihannya, telah membentuk runut bunyi dalam kehidupan baginda.

The King's Music Room dihasilkan sempena meraikan Hari Komanwel tahun ini.

Bob Marley, Kylie Minogue, Grace Jones dan artis kontemporari seperti Davido dan Raye, antara yang tersenarai dalam lagu pilihan utama Raja Charles III.

Dalam ucapan pembukaannya untuk siaran itu, Raja Charles III bertitah: “sepanjang hidup beta, muzik telah memberi makna yang besar kepada beta. Beta tahu itu juga berlaku kepada ramai orang lain."

Raja Britain itu turut menambah, muzik disifatkan sebagai keupayaan luar biasa untuk membawa kenangan bahagia yang datang dari lubuk ingatan yang dalam.

"Ia juga menghiburkan kita di waktu kesedihan dan membawa kita ke tempat yang jauh.

"Tetapi mungkin, yang paling utama, ia dapat mengangkat semangat kita dengan begitu mendalam, dan lebih-lebih lagi apabila ia menyatukan kita dalam perayaan. Dengan kata lain, ia membawa kegembiraan kepada kita.

"Jadi inilah yang beta ingin kongsi senarai lagu yang membawa kegembiraan kepada beta. Ini nampaknya cara yang sangat menarik dan inovatif untuk meraikan Hari Komanwel tahun ini, " jelas baginda.

Tayangan perdana The King’s Music Room boleh didengari di Apple Music 1 pada 10 Mac depan, bermula  pukul 6 pagi waktu tempatan secara percuma.