Isteri kepada Paul Weeks, salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370, tidak lagi mampu memberi jawapan yang menenangkan perasaan anaknya setiap kali dia diajukan soalan mengenai ketiadaan sosok tubuh penting dalam keluarga itu.

Danica Weeks, seperti yang diluahkan kepada portal SBS.com.au pada Rabu, meluahkan bahawa hatinya luluh setiap kali memandang mata anaknya yang penuh kemarahan.

Setiap kali didesak anaknya agar membawa pulang lelaki kesayangannya itu, Danica hanya mampu menjawab, “Maaf sayang, ibu tidak mampu.”

“Saya tidak boleh berjanji padanya saya boleh berbuat begitu hanya untuk mengubati hatinya. Saya telah lakukan segalanya untuk mereka berdua untuk memastikan bapa mereka kembali sama ada hidup atau mati,” luahnya.

Hasil perkongsian hidup Danica dan Paul dikurniakan dua orang anak yang masih kecil iaitu Jack dan Lincoln.

mh370
Danica bersama dua anaknya, Jack dan Lincoln, kini menjalani hidup tanpa lelaki kesayangan dalam hidup mereka. - Foto AP

“Tapi bagaimana mereka hendak menerima dan memahami keadaan ini? Mereka hanya mahukan bapa mereka kembali. Sebuah kekosongan yang harus diisi.

“Saya tahu orang sering katakan agar memberitahu perkara sebenar kepada anak-anak. Tapi apakah kebenaran yang hendak dikatakan di sini? Sesiapa saja, tolonglah beritahu saya!” kata Danica.

Tempoh 12 bulan telah berlalu dan Danica masih tidak menemui sebarang jawapan tentang kehilangan suaminya yang disifatkan sebagai teman hidup, kawan baik dan bapa yang hebat.

Danica menyatakan bahawa satu-satunya sumber iaitu pihak berkuasa Malaysia yang mempunyai tanggungjawab undang-undang dan moral dalam memberitahu kebenaran, sama ada menyembunyikan sesuatu ataupun juga tidak tahu pucuk pangkal sama sepertinya.

“Bagaimanakah nasib anak-anak kami nanti? Membesar dalam misteri penerbangan terbesar atau muslihat terhebat dalam dunia setakat ini.

“Saya tidak tahu, dan percayalah bahawa setiap pakar profesional dalam bidang ini juga tidak tahu,” katanya.

Danica mengeluh kerana tidak ada penjelasan tentang istilah ‘insiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini’ seperti yang pihak berkuasa Malaysia nyatakan.

Dalam luahan kepada portal berita Australia itu, Danica memberitahu bahawa dia kini bersusah-oayah meneruskan hidup dalam keterdesakan, kekecewaan dan kemarahan. Hari-harinya berlalu dengan kesedihan kerana Paul tiada di sisi.

“Adakah suami saya dapat mendengar anak bongsu kami yang masuk usia setahun mengucapkan kata ‘Daddy’ atau mengetahui bahawa Jack menggelarkannya ‘superhero’ kerana telah ‘menganugerahkannya kuasa ajaib’ untuk menjaga kami sekeluarga?

“Saya hanya perlu ada bersama mereka apabila mereka menjerit atau menangis. Saya sendiri hiba, lemah semangat dan cuba melawan emosi untuk tetap kelihatan tabah. Kerana saya tahu bahawa saya boleh menangis dan menjerit kemudian apabila bersendirian,” kata Danica.

Skala pencarian pesawat MH370 setakat ini memang tidak pernah berlaku dalam sejarah misi pencarian lain sebelum ini. Kawasan seluas lebih daripada sejuta kilometer persegi berpotensi untuk diterokai di perairan barat Australia namun tiada jaminan pesawat yang dicari itu berada di tempat tersebut.

Keputusan mengalihkan misi pencarian lebih jauh daripada laluan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Beijing telah dilaksanakan berdasarkan data komunikasi yang terhad antara pesawat dan satelit Inmarsat.

Zon pencarian yang dilakukan sekarang adalah kawasan yang paling dalam, terpencil dan tidak pernah diterokai di dunia.