Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, wilayah selatan Thailand dilanda hujan lebat serta banjir kilat sejak 22 November lalu menjejaskan kira-kira 664,173 isi rumah.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata, kira-kira 22,000 berpindah ke pusat perlindungan sementara setakat Isnin dan tujuh wilayah masih menghadapi banjir.
Walaupun hujan mulai reda sejak beberapa hari lalu, Jabatan Meteorologi Negara memberi amaran gelombang kedua dijangka melanda semula rantau itu akibat tekanan rendah dari Laut China Selatan yang dijangka bergerak melalui Teluk Siam.
Kata Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, sistem cuaca itu berkemungkinan menyebabkan hujan lebat dan banjir kilat antara 3 hingga 5 Disember ini.
Jurucakap kerajaan, Jirayu Houngsub berkata, Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra mengarahkan pegawai untuk mempercepatkan usaha bantuan dan pemulihan.
Katanya, bantuan kewangan akan diberikan kepada setiap isi rumah yang terjejas dengan bank simpanan kerajaan diarahkan untuk menyediakan pinjaman mudah perniagaan bagi memulihkan kerugian.
Asia Tenggara sering dilanda banjir pada waktu ini setiap tahun akibat monsun, tetapi jumlah taburan hujan pada 2024 adalah sangat luar biasa.
Beberapa kawasan di Malaysia dan Indonesia turut dilanda hujan lebat, mengganggu operasi di ladang kelapa sawit serta getah.