ANAK perempuan George Floyd, Gianna, kini merupakan salah seorang pemegang saham Disney.

Penyanyi terkenal, Barbra Streisand, membeli sejumlah saham Disney dan dihadiahkan kepada kanak-kanak berusia enam tahun itu.

"Terima kasih Barbra Streisand, saya kini merupakan pemegang saham Disney," tulis Gianna pada kapsyen sekeping foto yang dimuat naik ke Instagram.

Bapa Gianna meninggal dunia selepas seorang anggota polis, Derek Chauvin menekan lutut di leher Floyd selama sembilan minit, peristiwa yang mencetuskan protes global terhadap diskriminasi perkauman.


Bagaimanapun, tidak diketahui berapa nilai saham yang dibeli Streisand untuk Gianna.

Minggu lalu, Texas Southern University mengumumkan akan memberikan Gianna biasiswa penuh sekiranya dia memilih untuk melanjutkan pelajaran di situ.

“Kami memahami nilai pendidikan sangat diperlukan untuk memajukan diri. Kami berharap dia sudi menyertai keluarga TSU,” kata Ketua Yayasan Universiti, Gerald Smith.

Seorang lagi selebriti, Kanye West, menubuhkan dana pengajian tinggi untuk Gianna, yang juga sebahagian daripada sumbangannya yang bernilai AS$2 juta.

Halaman GoFundMe untuk Gianna pula telah berjaya mengumpulkan lebih dari AS$2 juta.

"Terima kasih di atas kasih sayang dan sokongan anda," tulis Gianna dan ibunya Roxie Washington di halaman tersebut.