GAZA: Pasukan pejuang Palestin, Hamas memberi amaran bahawa tebusan Israel yang ditahan di Gaza akan kembali "di dalam keranda" jika Israel cuba membebaskan mereka melalui tekanan tentera.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Hamas berkata, pejuangnya yang mengawal tebusan yang ditahan di wilayah Palestin telah menerima "arahan baharu" mengenai cara menangani tebusan jika tentera Israel mendekati.

Bahkan, mereka juga telah mengeluarkan poster bergambar yang menunjukkan tebusan diancam dengan pistol.

“Ketegasan Netanyahu untuk membebaskan banduan melalui tekanan tentera dan bukannya membuat perjanjian bermakna mereka akan kembali kepada keluarga mereka di dalam keranda dan keluarga mereka perlu memilih sama ada mereka mati atau hidup,” kata jurucakap sayap tentera Hamas Briged Al-Qassam, Abu Obaida yang membaca kenyataan itu pada Isnin.

Kenyataan Hamas itu dikeluarkan susulan enam mayat tebusan dari Gaza ditemukan oleh tentera Israel pada hujung minggu lalu.

Seorang jurucakap Israel berkata, keenam-enam tebusan itu telah "dibunuh dengan kejam oleh Hamas" sejurus sebelum askar sampai kepada mereka. - Agensi