NEW DELHI: Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) menggesa agar angkasa lepas bebas daripada senjata.

"Negara-negara anggota menyokong agar ruang angkasa kekal bebas daripada sebarang jenis senjata dan menyuarakan kepentingan mematuhi undang-undang sedia ada, yang memperuntukkan penggunaan angkasa lepas secara aman," deklarasi bersama yang dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak pertubuhan itu pada Selasa.

"Mereka menekankan keperluan untuk memuktamadkan dokumen antarabangsa yang mengikat secara sah serta meningkatkan ketelusan dan memberi jaminan bagi menghalang perlumbaan senjata," menurut kenyataan itu.

SCO memuktamadkan "Deklarasi New Delhi" selepas mesyuarat Majlis Ketua Negara yang dihoskan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam format maya.

Semua pemimpin SCO termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping, menyertai sidang kemuncak itu.

Iran antara ahli penuh pertubuhan itu dan Belarus dijangka menyertai SCO.

Ahlinya menyumbang kira-kira 40 peratus daripada penduduk dunia dan hampir satu pertiga daripada ekonomi global.

Mesyuarat pada Selasa menumpukan kepada beberapa isu global dan serantau, selain menekankan kerjasama dalam kalangan ahli SCO mengenai pelbagai perkara, termasuk perdagangan, keselamatan, antikeganasan dan budaya.

Ia menyatakan bahawa "negara anggota menganggap Asia Tengah sebagai teras SCO dan menyokong usaha negara-negara rantau ini untuk memastikan kemakmuran dan keamanan, pembangunan mampan dan pembentukan ruang kejiranan, kepercayaan dan persahabatan."

SCO juga menyeru untuk menjadikan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai platform yang lebih berkesan, menekankan "keperluan melaksanakan reformasi inklusif organisasi awal, memfokuskan kepada isu pembangunan dan penyesuaiannya terhadap realiti ekonomi moden."

Ia menentang sekatan perdagangan unilateral oleh sesetengah negara sambil menegaskan langkah-langkah itu tidak mendapat kelulusan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) "yang tidak selari dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan memberi kesan negatif kepada negara ketiga dan hubungan ekonomi antarabangsa."

SCO turut menyeru agar undang-undang dan pengaturan mengenai senjata biologi dan kimia dipatuhi.

Isu Afghanistan turut menjadi perhatian dalam perbincangan sidang kemuncak itu, dengan Modi dan rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif dalam ucapan mereka mengetengahkan kebimbangan mereka tentang situasi di negara itu.

"Negara-negara anggota percaya bahawa antara faktor yang paling penting dalam memelihara dan mengukuhkan keselamatan dan kestabilan dalam wilayah SCO, adalah penyelesaian awal terhadap situasi di Afghanistan. Mereka menyokong pembinaan negara Afghanistan sebagai sebuah negara yang merdeka, berkecuali, bersatu, demokratik dan aman. , bebas daripada keganasan, peperangan dan dadah," menurut SCO.

India tidak menyertai ahli lain dalam menyokong mengenai inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China, yang memerlukan pelaburan besar bagi ketersambungan di pelabuhan, jalan raya dan projek infrastruktur lain di seluruh wilayah.

- BERNAMA