BAZARAK: Pihak berkuasa Afghanistan secara rasmi mula mengeluarkan zamrud daripada lombong di wilayah timur Panjshir, Xinhua memetik kenyataan kerajaan wilayah itu pada Selasa.

Zamrud Panjshir Afghanistan, yang telah diekstrak secara haram oleh individu sejak beberapa dekad lalu akibat perang dan ketidakstabilan sehingga baru-baru ini, popular dalam kalangan komuniti perniagaan global sebagai batu berharga berkualiti tinggi.

Berucap pada majlis yang dihadiri pegawai, ketua kaum dan alim ulama, ketua wilayah bagi Galian dan Petroleum, Mawlawi Mohammad Qasim Amiri berkata lombong zamrud terletak di pergunungan dengan ketinggian sehingga 4,000 meter (m) dari paras laut dengan pelombong perlu mendaki dan menggunakan peralatan mudah untuk mengeluarkannya.

Sambil mengalu-alukan inisiatif itu, penduduk tempatan berkata perlombongan zamrud akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Kerajaan Emiriah Islam akan melakukan yang terbaik untuk memperbaiki taraf hidup rakyatnya dengan melancarkan projek ekonomi dan membina infrastruktur," kata gabenor wilayah itu Hafiz Mohammad Aga Hakim dalam ucapan perasmiannya.

Sejak mengambil alih kuasa di Afghanistan pada Ogos 2021, kerajaan sementara Afghanistan telah menandatangani beberapa siri kontrak dengan beberapa syarikat untuk mengekstrak lombong dan khazanah bawah tanah termasuk arang batu, besi, batu berharga dan separa berharga untuk menstabilkan ekonomi negara yang dilanda perang itu. .

-- BERNAMA